Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Seimbangkan Kecemerlangan Akademik Dan Kepimpinan – Musa

Datuk Seri Musa Haji Aman

Datuk Seri Musa Haji Aman

KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menasihatkan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah (MPPUMS) agar sentiasa menyeimbangkan kepentingan antara kecemerlangan kepimpinan dan akademik sepanjang mereka berada di menara gading.

Musa berkata peluang melanjutkan pelajaran ke universiti membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan masa depan lebih baik untuk generasi muda manakala peluang bertanding dalam pilihan raya kampus pula adalah bukti ruang dan peluang diberikan untuk mengasah kepimpinan orang muda.

“Cemerlang dan sukseslah dalam pengajian dan dalam masa yang sama menjadi pemimpin dan wakil pelajar yang berwibawa, bertanggungjawab, berfikiran terbuka dan rasional,” katanya ketika meraikan kunjungan hormat anggota MPPUMS ke atasnya di sini hari ini.

Menjelaskan komitmen tinggi kerajaan dalam pembangunan pendidikan di negara ini, Musa berkata Bajet 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lepas bukti kepentingan warga kampus di institut pendidikan tinggi (IPT) tidak diabaikan.

Katanya sebanyak RM7.4 bilion diperuntukkan kepada 20 universiti awam di negara ini untuk meningkatkan taraf kualiti pendidikan universiti ke peringkat global manakala RM4.3 bilion disediakan untuk biasiswa pelajar.

Bagi Sabah katanya, kerajaan negeri juga menjaga kepentingan masa depan generasi muda yang dicerminkan melalui bajet negeri dengan menyediakan peruntukan besar kepada kementerian berkaitan untuk membangunkan modal insan generasi muda.

“Kita sentiasa terbuka untuk menerima dan mendengar apa juga cadangan, pandangan, idea bernas, pendapat yang membina untuk kepentingan negeri dan rakyat Sabah, termasuk dari kalangan warga IPT dan MPP,” katanya.

Sementara itu, Musa juga mengingatkan pelajar IPT dan kepimpinan MPP di universiti agar sentiasa memastikan semangat perpaduan, kekitaan, keharmonian dalam kalangan pelajar berbilang kaum dan kepercayaan terus terpelihara.

Katanya suasana hidup harmoni lebih 32 etnik dan pelbagai agama dan kepercayaan di Sabah selama ini mesti dipertahankan dan tidak sesekali membenarkan sesiapapun menyemai rasa kebencian, prasangka dan hasutan untuk meruntuhkan suasana ini.

“Jangan terpengaruh dengan fitnah dan fahaman songsang yang boleh merosakkan keharmonian negara seperti Daesh dan parti-parti pembangkang,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan