Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Segerakan pembinaan Jambatan Natanduan- Radin

radinmalleh

TENOM 13 Julai – Kerajaan negeri menggesa syarikat yang terlibat dalam pelaksanaan pembinaan Jambatan Natanduan di Pulong dekat sini supaya segera menyiapkan jambatan baharu itu mengikut jadual.

Gesaan tersebut disuarakan Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Radin Malleh yang melahirkan kekesalan ekoran kelewatan pelaksanaan pembinaan projek berkenaan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap mengarahkan Pegawai Daerah Tenom dan jurutera daerah supaya membuat tindakan susulan dengan syarikat pembinaan terbabit bagi mendapatkan maklumat terperinci tentang kelewatan itu.

“Kelewatan pembinaan jambatan itu telah menimbulkan keresahan rakyat di kawasan terbabit serta akan menjejaskan keyakinan terhadap kredibiliti kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa komited membangunkan rakyat, khususnya di daerah Tenom,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau di tapak projek pembinaan jambatan itu di sini hari ini.

Yang turut serta dalam tinjauan itu Pegawai Daerah Tenom, Madiyem Layappan; Jurutera Daerah Tenom, Petrocelli Joseph dan pegawai jabatan serta agensi kerajaan berkaitan di daerah ini.

Jambatan Natanduan bernilai RM14.9 juta yang dibina merentangi Sungai Pegalan akan menghubungkan Pusat Kebudayaan Murut di Pulong, Melalap dengan Taman Pertanian Sabah di Lagud Sebrang, Tenom.

Radin menambah, pembinaan jambatan baharu itu akan mewujudkan laluan alternatif kepada penduduk di daerah Tenom serta memendekkan masa perjalanan orang ramai yang ingin melawat Taman Pertanian Sabah.

Pembinaan jambatan baharu itu juga katanya, membuktikan komitmen kerajaan BN untuk membina kemudahan-kemudahan awam yang boleh meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Terdahulu pada sebelah pagi, Radin ketika merasmikan program penerangan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di Dewan Datuk Seri Panglima Antenom dekat sini menyatakan keyakinan pelaksanaan GST itu memberi pelbagai faedah kepada semua golongan, khususnya rakyat yang kurang berkemampuan.

Komen


Berita Berkaitan