Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,654

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Seekor Lagi Beruang Madu Dilepaskan Ke Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin

6:54pm 29/07/2016 Pak Roshan 50 views Mutakhir,Sandakan,Tempatan

beruang-madu

SANDAKAN : Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC) melepaskan kembali seekor beruang madu betina ke hutan hujan Sabah dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD).

Setelah dibuat pemeriksaan perubatan terakhir oleh Dr Rosa Sipangkui daripada SWD, haiwan diberi nama Lawa itu dibawa dengan helikopter untuk dilepaskan di satu lokasi pada 25 Julai.

Apabila tiba di lokasi berkenaan, Lawa segera keluar daripada sangkar dan terus menghilangkan diri di dalam Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin yang belum terusik keasliannya.

Lawa dipasang dengan kolar satelit GPS bagi membolehkan BSBCC memantau pergerakannya secara berkala.

Pengasas dan ketua pegawai eksekutif BSBCC Wong Siew Te dalam kenyataan di sini hari ini berkata Lawa dibawa ke BSBCC di Sepilok sebagai ‘anak yatim’ pada 2008 dan sejak itu haiwan berkenaan dipersiapkan untuk kembali ke hutan yang menjadi tempat asalnya.

“Dia menjalani latihan pemulihan selama lapan tahun, mempelajari semua kemahiran yang diperlukan untuk menjalani kehidupan di hutan tebal seperti membina sarang, mencari makan dan berdikari. Semua latihan ini diberi dengan menggunakan tempat kurungan semula jadi serba canggih di BSBCC,” katanya.

Wong berkata pembebasan Lawa adalah hasil kerjasama antara BSBCC dengan rakannya seperti SWD, Jabatan Perhutanan Sabah, Land Empowerment Animals People (Leap), Tabin Rangers, sukarelawan dan mereka yang mengambil bahagian dalam usaha mengumpul derma bagi membantu dan menyokong pembebasan haiwan itu.

Katanya, Lawa adalah beruang madu kedua yang dilepaskan ke Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin selepas seekor lagi beruang madu bernama Natalie dilepaskan ke hutan itu dengan menggunakan kaedah sama pada Mei tahun lepas.

Natalie berjaya dipantau selama kira-kira dua bulan di hutan berkenaan dan haiwan itu didapati merayau di kawasan seluas 14.3 km persegi.

“Setelah Lawa dilepaskan, BSBCC kini mempunyai 40 lagi beruang madu yang diselamatkan. Tanggungjawab serta kos menjaga haiwan ini adalah tinggi,” kata Wong.

Sementara itu, pengarah SWD William Baya memuji BSBCC kerana mengambil inisiatif melaksanakan projek pembebasan itu.

“Pembebasan Lawa menjadi tanda kejayaan BSBCC dan saya percaya lebih banyak beruang akan dilepaskan kembali ke hutan pada masa akan datang,” katanya.

Beruang madu adalah haiwan yang dilindungi undang-undang di Sabah di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 dan mereka yang melanggar undang-undang itu boleh dihukum penjara hingga lima tahun atau dikenakan denda maksimum RM50,000.

Sehubungan itu, kata Baya, SWD memberi amaran keras kepada mereka yang terus memburu beruang madu dan spesies hidupan liar lain yang dilindungi.

“Kami akan ambil tindakan terhadap mereka yang didapati terlibat dengan aktiviti seperti itu,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan