Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sedia berkahwin

marsha

MENGINJAK usia 29 tahun membuatkan Marsha Milan yakin dia semakin matang dalam segala hal. Daripada soal kerjaya sehinggalah penampilan, segala-galanya dijaga dengan baik berbanding ketika dia mula menapak dalam industri satu ketika dahulu.

Baginya sikap dan kematangan semakin terserlah tatkala melewati satu lagi fasa baru di dalam hidup dan pastinya perkara berkenaan memberikan kesan positif kepada wanita yang berasal dari Sabah ini.

Jika dahulu nama Marsha kerap dikaitkan dengan isu seksi dan pelbagai isu remeh yang mencalarkan reputasi dirinya, kini perkara berkenaan semakin kurang diperkatakan.

Saya kini menjaga banyak hal di dalam kehidupan seharian. Tak mungkin saya menjadi orang yang sama seperti tahun-tahun awal kemunculan saya dalam industri ini.

Pelajaran dan pengalaman berharga yang saya lalui saya kutip satu persatu untuk mematangkan diri,” luahnya pada satu sesi fotografi baru-baru ini.

Bagi Marsha dia tidak pernah melupakan apa sahaja peristiwa pahit yang pernah terjadi sepanjang bergelar anak seni. Tidak hanya mengenang perkara yang manis-manis, segala kontroversi dan cerita panas turut disimpan di dalam hati.

Ujarnya, ketelanjuran perbuatan masa lalu dijadikan pedoman untuk membina masa hadapan yang lebih bermaruah.

Tidak mungkin selama-lamanya dia mahu terus memahat nama sebagai artis yang dilabel dengan pelbagai konotasi negatif sedangkan masih banyak perkara elok yang boleh dikenang tatkala menyebut namanya.

Mungkin satu masa dahulu saya terlalu muda dan hanya mementingkan keseronokan. Saya tak pernah menafikan perkara berkenaan pernah berlaku kepada saya satu masa dahulu.

Tapi kini hidup saya lebih tenang. Dalam fasa akhir usia 20-an ini pastinya saya lebih matang dalam setiap perbuatan. Segala-galanya perlu difikirkan terlebih dahulu buruk baiknya.

Jika ada kelapangan saya lebih gemar duduk di rumah sahaja. Tak ada lagi masa senggang dengan berhibur semata-mata memandangkan masih banyak perkara lain yang harus saya lakukan,” tegasnya lagi.

Jika satu masa dahulu dia pernah menetapkan angka 25 tahun untuk menamatkan zaman bujang kini Marsha berharap usia 30 tahun bakal menjadi penamat kepada status solonya.

Bukan berniat mahu berselindung daripada pengetahuan umum tapi Marsha enggan memberikan lagi janji manis sedangkan perkara tersebut tidak menjadi kenyataan.

Saya ingat lagi dulu pernah berharap untuk menamatkan zaman bujang pertengahan usia 20-an. Tapi sampai sekarang pun masih belum ada jodoh. Yang malunya saya juga kerana bercerita lebih awal.

Tapi bagi wanita macam saya pastinya berharap jodoh akan datang cepat. Mungkin tahun hadapan adalah waktu yang paling cocok untuk saya berkahwin dan membina sebuah keluarga,” jelasnya.

Biarpun adakalanya dia rimas dengan persoalan ini tetapi sebagai orang yang dikenali dia sudah terbiasa menjawab soalan yang sama berkali-berkali sejak dulu.

Pun begitu, pelakon filem Laga ini mendedahkan yang dia sering kali diusik oleh ahli keluarganya tentang masa depan dan perancangan untuk mendirikan rumahtangga.

Setiap kali bersama keluarga, bapa saya tak pernah lekang bertanyakan soalan itu. Untungnya mereka akan berjenaka atau membuat lawak untuk mengusik saya dan bukannya bertanya secara serius.

Tapi sebagai wanita saya faham soalan-soalan itu diajukan sebab mereka mengambil berat tentang saya. Kalau ada jodoh tak ke mana,” katanya.

Ditanya sama ada dia sudah bersedia untuk bergelar isteri dan juga ibu sedikit masa lagi, Marsha mengiyakannya dan memberitahu sudah bersiap sedia sepenuhnya.

Malah akuinya, dia tiada masalah untuk menamatkan zaman bujang pada bila-bila masa andai jodohnya sudah tertulis akan hadir sedikit masa lagi.

Buat masa ini Marsha enggan mendedahkan dengan siapa dia berkawan kerana biarpun hatinya kini dekat dengan seseorang tetapi hubungan mereka masih belum sampai ke tahap untuk berumahtangga.

Cukuplah kalau orang tahu saya rapat dengan seseorang. Kalau sudah ada perancangan untuk berkahwin, mungkin pada masa itu saya sudah bersedia untuk mendedahkan siapa orang tersebut.

Dulu saya pernah mengalami tekanan perasaan bila putus cinta. Saya anggap itu pelajaran paling berharga buat bekalan hari ini.

Kalau tak melalui fasa-fasa yang memeritkan mungkin saya tak belajar banyak perkara. Saya kena jaga emosi dan fizikal agar tak melakukan apa-apa yang buruk di kemudian hari,” tegasnya.

Komen


Berita Berkaitan