Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,415

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Sebutan Semula Kes Bot Katamaran Karam 13 Mac

3:43pm 28/02/2017 Pak Roshan 343 views Jenayah,Mutakhir

KOTA KINABALU – Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 13 Mac untuk sebutan semula kes pemilik sebuah bot pelancong jenis katamaran yang karam ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum yang menyebabkan kematian empat pelancong China setakat ini.

Majistret Stephanie Sharron Abbie membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan daripada pihak pendakwaan yang masih menunggu keputusan Pengarah Mahkamah Negeri Sabah sama ada untuk membawa kes tertuduh, Leong Vin Jee, 43, ke Mahkamah Pelancongan atau sebaliknya.

Stephenie Sharron juga membuat keputusan berkenaan selepas dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Umar Faiz Abd Kohar, bahawa terdapat sekurang-kurangya enam lagi pertuduhan akan dibuat terhadap tertuduh.

Peguam Edward Paul yang mewakili Leong berkata tiada bantahan berhubung permohonan itu.

Pada 5 Feb, Leong mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membawa penumpang melebihi had dibenarkan berdasarkan lesen bot miliknya dan dia didakwa mengikut Seksyen 282 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Leong dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Pada 4 Feb lalu, tekong bot berkenaan, Sharezza Sailin, 26, dihukum penjara enam bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan sama dengan Leong.

Dalam tragedi 10 pagi 28 Jan lepas, bot pelancong jenis katamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal, karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan