Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,636

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Sebuah Jawatankuasa Bersama Laksana Projek KKLW Di Sabah Diwujudkan Awal Tahun Depan

7:02pm 09/11/2015 Pak Roshan 128 views Mutakhir,Tawau,Tempatan

kklw

TAWAU : Sebuah jawatankuasa bersama antara Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan kerajaan negeri Sabah akan diwujudkan bagi melicinkan lagi pelaksanaan pelbagai projek kementerian itu di negeri ini.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya membincangkan perkara itu dengan kerajaan negeri Sabah dan ia dijangka mula berkuat kuasa awal tahun depan.

“Dengan adanya jawatankuasa itu, setiap projek yang bakal dilaksanakan di Sabah akan dibincangkan terlebih dahulu sebelum dilaksanakan.

“Jawatankuasa itu juga akan memantau dan menyelesaikan segala isu yang berbangkit terhadap sesuatu projek yang dilaksanakan kelak,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) Zon Tawau dan Sandakan, di sini Isnin.

Ismail Sabri berkata projek yang mendesak menjadi keutamaan untuk dibincangkan dalam jawatankuasa itu kelak.

Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan beliau berkata ia bertujuan untuk memberi semangat bagi meningkatkan iltizam semua anggota JKKK dan JKDB dalam menggalas amanah serta tanggungjawab memajukan kawasan luar bandar di Sabah.

“Objektif penganjuran majlis ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kefahaman berkaitan peranan dan tanggungjawab JKKK dan JKDB dalam membangunkan desa dan masyarakat dengan kemahiran merancang projek pembangunan kampung,” katanya.

Ismail Sabri berkata JKKK dan JKDB adalah entiti penting dan pemimpin barisan hadapan di peringkat mikro yang menjadi asas kepada pembangunan negara.

“Oleh itu, amat penting untuk terus memperkasakan JKKK dan JKDB agar ia kekal relevan mengikut peredaran zaman,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan