Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,774

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Sebelum Aku Bernikah – Definisi Cinta Saya

5:20pm 16/12/2015 Zakir Sayang Sabah 147 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Justeru, setelah memerhatikan betapa rosaknya cinta yang ada di atas muka bumi hari ini, maka saya kembali kepada fitrah Islam yang mengajak kepada keindahan dan kebersihan dalam kehidupan insan.

Memahami akan makna ‘kemenangan’ atau ‘kejayaan’ yang sebenar sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT:

  “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” Surah Ali-Imran ayat 185.

Bahawa kejayaan itu adalah apabila masuk ke syurga, dan jelas lawannya, kegagalan pula, adalah apabila masuk ke neraka, maka daripada ini saya bina definisi cinta saya.

“Sekiranya benar cinta, mestilah hendak bersama ke syurga. Apa-apa yang membawa ke neraka, itu bukan cinta namanya.”

Ya. Itulah definisi cinta saya.

Membuang definisi dunia.

Cinta adalah seks. Cinta adalah berkucupan. Cinta adalah berpegangan tangan. Cinta adalah berhabisan duit kepada pasangan. Cinta adalah keluar berdua-duaan. Cinta adalah melafaz kata-kata indah berlebih-lebihan. Cinta adalah kemaruk, angau, lalai, alpa. Cinta adalah menggadaikan maruah. Cinta adalah jauh daripada Allah SWT, dan melanggar batas-batasNya.

Ya. Begitulah cinta yang dipalitkan dengan definisi dunia.

Saya keluar daripada definisi itu.

 

Bila saya dengan definisi saya.

Dengan definisi cinta saya, “Sekiranya benar cinta, mestilah hendak bersama ke syurga. Apa-apa yang membawa ke neraka, itu bukan cinta namanya”, saya mengayuh kehidupan mengejar cinta yang sebenar-benar cinta. Membina satu disiplin untuk menjadikan ianya luar biasa.

Apabila saya memahami bahawa cinta itu adalah hendak bersama ke syurga, maka saya mula membayangkan perkara –perkara yang boleh membawa saya dan orang yang saya cintai ke syurga Allah SWT. Itu yang saya usahakan.

Menambah kebaikan-kebaikan di dalam hidup. Mempergiatkan amalan-amalan yang memberikan pahala dan kebersihan jiwa. Di samping berusaha mempertajamkan adab dan sopan, walaupun mungkin untuk bahagian itu saya masih lemah hingga kini. Ilmu berkenaan agama itu sendiri, saya perhalusi dan dalami.Urusan ibadah itu saya usahakan untuk perkemaskan lagi. Terus menerus membina kefahaman akan rumah tangga nubuwwah, dan bagaimana anak-anak dan isteri sepatutnya dilayan di dalam Islam. Tidak putus-putus saya berusaha membina diri agar menjadi seorang yang sederhana, mampu bertolak ansur, dan mampu memimpin dengan baik. Saya berusaha agar emosi tidak mengawal saya, tetapi keimanan adalah apa yang mengawal emosi kita.

Bukanlah saya berjaya sekarang atas semua itu kini, tetapi itulah antara perkara yang saya usahakan. Kerana katanya hendak ke syurga.

Dan memahami betapa apa-apa yang melontar ke neraka itu bukan cinta, maka saya mengeraskan diri dari dosa-dosa kepada Allah SWT. Sekiranya ada juga yang saya lakukan, maka saya akan berusaha membersihkan diri dan berusaha menanggalkannya. Sekiranya ada sikap buruk pada diri saya, saya berusaha untuk mencucinya, rasa risau akannya, kerana tidak mahu itu semua membuatkan saya dan orang yang saya cinta dilempar ke neraka. Saya tidak mahu, orang yang saya cinta, dilemparkan ke neraka kerana saya.

Maka semestinya, couple, kelalaian dan kealpaan kerana cinta, fantasi kotor, dan apa-apa sahaja yang boleh membuatkan saya dan pasangan saya jauh daripada Allah SWT, tidak saya letakkan dalam ‘to do list’. Tetapi saya ‘block’ siap-siap, dan tidak bercita-cita akannya. Kerana apa-apa yang melontar ke neraka itu, bukan cinta pada saya.

Saya set semasa awal kembara saya di atas perjalanan ini, agar cinta saya menjadi cinta yang luar biasa. Yang sederhana, sesuai dengan fitrah manusia yang dibenarkan oleh Islam. Sesuai dengan ruh Islam itu sendiri, yang sederhana dan menyenangkan. Tetapi tidak pula terlalu mudah hingga hilang segala prinsip yang mempertahankan.

Maka dengan definisi ini, saya bermula.

 

Dan Definisi Ini Kekal Hingga Selepas Pernikahan.

Definisi cinta ini kekal hingga selepas pernikahan.

Selepas bernikah pun, cinta pada saya sepatutnya didefinisikan sedemikian rupa. Tetap ada larangan Allah SWT dan perintahNya di dalam hubungan suami isteri. Dan itu perlu dipatuhi. Tetap kita tidak boleh mengajak pasangan untuk mengingkari Allah SWT, dan menjauhi kehidupan Islam. Adalah wajib, untuk kita menariknya semula sekiranya tersasar dan bukan sekadar mendiamkan atas alasan sayang.

Akhirnya, sayang itu tidak akan pernah membawa ke neraka. Kerana apa-apa yang membawa ke neraka, bukan sayang dan cinta namanya.

Semasa saya membina definisi ini, saya melihat inilah dia definisi yang paling cucuk buat cinta.

Tiada definisi lain yang memuskan hati saya.

Definisi ini, sebelum dan selepas kahwin, ianya adalah begitu.

Sebelum kahwin buat kita terjaga, dan selepas kahwin buat kita rasa ingin terus menjaga.

Maka perjalanan saya di dalam cinta ini adalah dengan definisi itu.

 

Penutup: Tetapi orang yang tidak memahami definisi ini akan terus merosakkan cinta.

Tetapi orang tidak ramai mahu meneliti definisi ini.

Maka bila disebut cinta, mereka pergi kepada definisi cinta yang dunia warnakan. Yang dunia asaskan.

Maka keluarlah statement-statement seperti cinta sebelum kahwin itu haram dan sebagainya. Wajah cinta tercalar dengan sikap-sikap sebegini. Cinta akhirnya menjadi kotor dan rosak. Tiada yang ingin mencucinya. Tiada yang ingin membersihkannya. Akhirnya, golongan-golongan yang tidak memahami, hanya melihat cinta dengan pandangan stereotaip. Apabila definisi cinta tidak diperbaiki, maka yang mereka nampak hanyalah cinta yang diwarnakan dunia. Maka mereka pergi ke arah itu. Menjadi rosak, dan merosakkan.

Sedangkan cinta itu fitrah. Yang bukan boleh dibuang begitu sahaja.

Tetapi cinta boleh dikawal. Jika diajar definisi yang sebenarnya.

Bahkan, Islam itu menyediakan cara hidup yang indah, agar manusia tidak terbeban di atasnya.

Kita akan bicarakan lagi perkara ini dengan lebih detail dalam lembaran yang akan datang.

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Hilal Asyraf)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan