Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sebanyak 6.8 Juta Permohonan BR1M Diluluskan Sehingga Mei – Ahmad Maslan

br1M

KUALA LUMPUR: Sebanyak 6.8 juta permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2014 diluluskan kerajaan sehingga 31 Mei bulan lepas, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 4.5 juta penerima terdiri daripada golongan isirumah manakala 2.3 juta lagi penerima adalah golongan bujang dengan kesemuanya melibatkan peruntukan RM3.6 bilion.

“Jumlah penerima ini dijangka meningkat memandangkan permohonan rayuan baharu ditutup pada 31 Mei lepas dan masih ada permohonan yang sedang diproses Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya pada persidangan Dewan Negara, di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Mohd Khalid Ahmad yang bertanya sama ada kerajaan bercadang mengkaji semula pemberian BR1M secara tunai dengan kaedah baharu seperti pemberian kupon makanan atau kaedah lain yang bersesuaian.

Ahmad berkata dari segi penunaian pula, sebanyak 6.4 juta penerima atau 94 peratus telah menunaikan BR1M masing-masing.

Menurutnya kerajaan sedang mengkaji kaedah terbaik termasuk cadangan pemberian kupon makanan supaya agihan bantuan dapat disalurkan kepada penerima yang benar-benar layak.

Katanya sebarang penambahbaikan pengagihan BR1M akan diumumkan semasa pembentangan Bajet 2015.

Berdasarkan statistik, Selangor direkodkan sebagai negeri penerima tertinggi BR1M 2014 dengan peruntukan RM470 juta dan melibatkan 925,000 penerima atau 13.8 peratus daripada jumlah penerima bantuan itu di seluruh negara.

“Ia diikuti Johor dengan peruntukan RM413 juta yang melibatkan 798,000 penerima atau 11.91 peratus daripada keseluruhan penerima,” katanya.

Sarawak menjadi negeri penerima BR1M ketiga tertinggi dengan sebanyak 652,000 penerima atau 9.7 peratus daripada keseluruhan penerima BR1M 2014 yang membabitkan peruntukan RM350 juta.

Komen


Berita Berkaitan