Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

SEBANYAK 2,364 PATI DITAHAN DALAM OPS GASAK 2014 DI ESSZONE

PATI...  Warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit sah ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa berkaitan. - Gambar Hiasan
PATI… Warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit sah ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa berkaitan. – Gambar Hiasan

SANDAKAN, 21 Jan : Sebanyak 2,364 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditangkap, diambil tindakan undang-undang dan dihantar balik ke negara asal mereka hasil daripada 33 kali Ops gasak yang dilaksanakan di Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom) tahun lepas.

Komander Esscom Datuk Abdul Rashid Harun berkata daripada jumlah itu, 1,727 orang adalah lelaki dan selebihnya wanita yang ditahan kerana tidak memiliki dokumen sah dalam operasi itu yang  bertujuan membersihkan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone)daripada PATI.

Beliau berkata daerah Semporna mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 1,519 orang, diikuti Lahad Datu dengan 518 orang dan Sandakan 187 orang.

“Kita sedar bahawa kes kemasukan PATI merupakan masalah yang sering dihadapi oleh masyarakat di sekitar pantai timur Sabah khasnya di daerah Semporna, Tawau, Kunak, Lahad Datu dan Sandakan.

“Dalam hal ini, jangan bersubahat dan memberi perlindungan kepada PATI, sebaliknya  melaporkan kepada pihak keselamatan kehadiran PATI di kawasan masing-masing,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Esscom Bersama Pemimpin Masyarakat Mukim Rancangan Sungai Manila di Kampung Muhibah, dekat sini hari ini.

Turut hadir Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Zakaria Edris, Pengarah Awam Esscom Ruji Ubi dan Ketua Bahagian Khidmat Keurusetiaan Esscom Newmond Tibin.

Abdul Rashid berkata mereka yang didapati bersekongkol dan cuba melindungi PATI boleh diambil tindakan di bawah Akta Imgresen yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga lima tahun, denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin yang disebarkan melalui media sosial sebaliknya merujuk apa juga berita yang tersebar kepada pihak keselamatan atau Esscom untuk kesahihannya.

Sebelum ini, Esscom menafikan khabar angin kononnya sekumpulan pengganas dari selatan Filipina mendarat di Kampung Luboh (sebuah kampung pesisir pantai dalam kawasan mukim Rancangan Sungai Manila) pada 25 Dis lepas.

Abdul Rashid berkata tahun ini, Esscom menyusun atur pelbagai program dan pendekatan bagi meningkatkan kefahaman dan penyertaan rakyat terutama dalam membantu kerajaan khususnya Esscom menangani pelbagai isu.

Beliau berkata ini termasuk melancarkan Operasi Bersepadu Khas bagi memburu PATI dan penjenayah rentas sempadan di Esszone yang merupakan tindakan susulan pengumuman hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai PATI di  Sabah.

Abdul Rashid berharap dengan kerjasama semua pihak termasuk orang ramai, masalah PATI di Sabah, khususnya di Esszone, dapat ditangani secara berkesan.- BERNAMA

 

Komen


Berita Berkaitan