Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sebanyak 22,363 premis diperiksa dalam Ops Catut

KOTA KINABALU: Sebanyak 22,363 buah premis perniagaan telah diperiksa dalam Ops Catut yang dijalankan oleh Jabatan Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah di seluruh negeri.

Daripada jumlah itu, sebanyak 68 buah premis dikompaun atas pelbagai kesalahan termasuk 10 notis dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga & Anti Pencatutan 2011 yang bertujuan untuk mendapatkan maklumat kos dan untung bersih perniagaan mereka.

Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Sabah, Fredeck Kantod berkata, Ops Catut dijalankan sebagai persediaan KPDNKK menghadapi pelaksanaan system Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan berkuatkuasa mulai 1 April depan.

“Operasi ini merupakan langkah tegas yang diambil oleh Kementerian bagi memastikan tiada peniaga yang menggunakan GST sebagai alasan untuk menaikkan harga produk jualan mereka,” katanya kepada media selepas mengetuai Operasi Catut di sekitar pekan Putatan di sini hari ini.

Katanya, bagi tempoh 1 Januari hingga hari ini, KPDNKK belum menerima aduan daripada pengguna mengenai kenaikan harga oleh peniaga.

Bagaimanapun, Fredeck berkata, KPDNKK akan terus membuat pemeriksaan dan pemantauan di lokasi perniagaan yang menjadi tumpuan orang ramai.

“Ini adalah tindakan berterusan dalam usaha melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan untung berlebihan oleh peniaga yang tidak beretika,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menasihati para peniaga agar mematuhi undang-undang sedia ada bagi mengelak dikenakan kompoun oleh pihak berkuasa.

“Peniaga hendaklah mematuhi undang-undang sedia ada dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan, manakala orang ramai mestilah mengetahui tanggungjawab dan hak mereka sebagai pengguna,” katanya.

Fredeck berkata, sekiranya terdapat peniaga yang tidak mematuhi undang-undang, orang ramai boleh menyalurkan aduan kepada KPDNKK di talian bebas tol 1-800-886-800 atau 088-484500. – oleh Nuzir Andi Samsiar / sayangsabah

giant

Komen


Berita Berkaitan