Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,722

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Sebagai Seorang Muslim, Jangan Buat 5 Perkara Ini!

4:52pm 01/03/2016 Zakir Sayang Sabah 251 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Saya pernah bertemu dengan seorang hamba Allah swt yang sangat misteri orangnya. Datangnya tiba-tiba, hilangnya juga tanpa sebarang tanda. Namun ada suatu nasihat atau peringatan yang beliau begitu tegaskan kepada saya.

Bagaimana untuk saya menjadi seorang Muslim yang benar? Bagaimana untuk saya tahu dan pastikan bahawa saya telah melaksanakan kewajipan sebagai seorang Muslim yang sebenar?

Siapalah yang tidak mahu menjadi muslim yang berjaya seperti Rasulullah saw?
Setiap muslim pastinya ingin menjadi yang terbaik dan berjaya di dunia akhirat.

Hamba Allah swt ini tersenyum dan menjawab persoalan yang saya ajukan dengan “5 Jangan”. Katanya, mulakan dengan berjuang mengelak apa yang dibenci dan dilarang oleh Allah swt agar kita dikasihiNya.

Kemudian kita tambahkan usaha dengan melaksanakan apa yang disuruh dan dicintaNya agar kita terus berada di dalam naungan rahmat dan keampunanNya. Apakah “5 Jangan” ini?

Jangan #1: Jangan Kufur

Terdapat beberapa definisi bagi kata kufur. Secara bahasanya bermaksud “menutupi” atau “mengingkari”. Dari segi Usuluddin, kufur adalah “tutup” sepertimana hati orang-orang kafir yang tertutup dari menerima hidayah Allah swt dan seruan Rasulullah saw.

Menurut kefahaman Ahli Sunnah wal Jamaah pula secara istilahnya kufur adalah suatu pendustaan kepada Rasulullah saw dan ajaran yang dibawanya. Menurut syarak, kufur membawa makna tidak mempercayai dan mengimani Allah swt, para malaikat, kitab-kitabNya, para Rasul, dan sebarang ketetapan agama yang secara daruri diketahui oleh orang Islam.

Allah swt telah menegaskan di dalam Surah An-Nisa’, ayat 136 dan 137 bahawa:

“Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad saw) dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah dan malaikat-malaikatNya, dan kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, kemudian mereka kafir, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kafir sekali lagi, kemudian mereka bertambah-tambah lagi dengan kekufuran, Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada mereka dan tidak akan memberi petunjuk hidayah kepada mereka ke jalan yang benar.”
Surah An-Nisa’, ayat 136 – 137
Secara umum, golongan yang secara terus menolak ajaran Islam dan seruan Rasulullah saw sekaligus tidak mempercayai Allah swt sebagai Tuhan adalah golongan kafir (kufur akhbar).

Apakah yang dikatakan kufur bagi seorang yang mengaku Islam? Kufur bagi seorang Islam adalah apabila dia menolak sebahagian dari ajaran dan hukum Tuhan samada secara lisan, perbuatan ataupun hatinya (kepercayaan).

Contohnya menolak hukum hudud, kerana tidak bersetuju dengan kewujudan hukum ini boleh jatuh kufur. Mempersendakan (menghina, mengejek dan mempermainkan) suruhan dan larangan Allah swt boleh jatuh kufur, menolak sunnah Rasulullah saw boleh jatuh kufur mahupun membenci poligami juga boleh jatuh kufur.

Di dalam ayat di atas juga Allah swt telah menegaskan bahawa, perbuatan dosa yang diulang berkali-kali akan membawa kepada kesesatan yang jauh kerana hati manusia itu semakin lama semakin hitam untuk menerima sebarang petunjuk dan hidayah dari Allah swt.

Kadang-kadang manusia suka mengambil ringan terhadap sesuatu perbuatan dosa itu kerana menganggap apa yang dilakukan adalah suatu hal yang kecil dan remeh. Tanpa sedar, dosa-dosa kecil ini telah dikumpul lama-lama jadi bukit. Lalu kemudian hari nanti siapa yang akan rugi?

Jangan #2: Jangan Syirik

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendakiNya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya ia telah berbuat dosa yang besar.”
Surah An-Nisa’, ayat 48
Apakah itu syirik? Perkataan syirik berasal dari kata “syaraka” yang bermaksud “mencampurkan dua atau lebih benda/hal yang tidak sama menjadi seolah-olah sama.” Campuran dua elemen ini dipanggil sebagai “isyrak” manakala orang yang mencampurkannya digelar sebagai “musyrik”.

Dalam hal tauhid, syirik adalah mencampurkan (menyekutukan) Allah swt kepada yang lain dengan menganggap yang lain itu juga sama seperti Allah swt yang boleh memberi manfaat dan mudarat. Mana mungkin Tuhan yang Maha Satu disamakan dengan ciptaanNya sendiri, karut!

Hindarilah dari sebarang perkara syirik kerana ia merupakan dosa besar!

Syirik besar adalah yang nyata seperti perbuatan sihir yang menyekutukan Allah swt dengan makhluk ghaib, menyembah berhala/patung walaupun mengaku beriman dan memakai tangkal/azimat. Syirik besar boleh menyebabkan pelakunya keluar dari Islam.

Syirik kecil yang sering kita terlepas pandang adalah sikap riak, takbur, sum’ah dan ujub di dalam diri kita. Apabila seorang hamba merasakan dirinya bagus, mulia berbanding orang lain maka dia seolah-olah mahu meletakkan dirinya setaraf dengan Tuhan yang selayaknya berada di aras bagus, mulia, perkasa, hebat dan bangga tersebut.

Awas! Rasulullah saw telah bersabda:

“Riya’ sekalipun hanya sedikit, ia termasuk syirik dan barang siapa memusuhi kekasih-kekasih Allah maka ia telah menyatakan perang terhadap Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang baik, taqwa serta tidak dikenali. Sekalipun mereka tidak ada, mereka tidak hilang dan sekalipun mereka ada, mereka tidak dikenali. Hati mereka bagaikan pelita yang menerangi petunjuk. Mereka keluar dari segala tempat yang gelap gulita.”
Riwayat Ibnu Majah & Baihaqi
Jadi Muslim sebenarnya bagaimana? Lawan “syaraka” adalah “khalasha” yang bermaksud “memurnikan”. Sesuatu yang tidak bercampur itu suci dari sebarang unsur lain/luar dan ini dipanggil sebagai “Khalish”.

Dari kata ini hadir perkataan “ikhlas” iaitu sikap yang mentawhidkan Allah swt secara keseluruhannya, kesucian yang total. Melalui apa dia mentawhidkan Allah swt?

Segala perbuatannya, lisannya, keyakinannya, bicara hatinya dan buah fikirannya semua dilakukan demi Allah swt dan kerana Allah swt. Apatah lagi segala ibadahnya juga diabadikan untuk mengharap redha Allah swt.

Jangan #3: Jangan Zalim

Zalim adalah kata lawan bagi “Adil”. Dari aspek ini menurut Syeikh Raghib al Asfahani dalam al Mufradat fi Gharib Al-Quran, zalim membawa maksud “tidak menempatkan/meletakkan sesuatu pada tempatnya, menambah mahupun mengurangkannya.”

Dari segi istilah bahasa, zalim membawa maksud “aniaya/celaka.” Dapatlah disimpulkan bahawa perbuatan zalim adalah tindakan yang tidak menurut syariat Islam seperti meninggalkan suruhan dan mengerjakan larangan Allah swt sekaligus meletakkan sesuatu bukan pada tempat yang diredhai Allah swt.

Zalim kepada Allah swt berlaku apabila kita sebagai hamba telah menidakkan hak Allah swt sebagai Tuhan yang disembah. Tindakan ini membawa kepada kekufuran dan menjadi syirik apabila disertakan dengan perbuatan menyekutukan Allah swt dengan yang lain. Zalim ini sangat besar dosanya seperti firman Allah swt:

“Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang amat besar.”
Surah Luqman, ayat 13
Secara tidak langsung, kita telah menzalimi diri sendiri apabila kita menidakkan hak Allah swt kerana balasan perbuatan ini adalah neraka. Zalim kepada diri sendiri juga berlaku apabila kita melakukan maksiat dan dosa dengan sengaja, jelas sekali kita sengaja merosakkan hidup dunia dan akhirat melalui perbuatan-perbuatan ini.

Perbuatan zalim kepada orang lain berlaku apabila kita melakukan kesalahan, dosa dan maksiat yang melibatkan orang lain seperti zina dan judi. Juga menjadi suatu perbuatan yang zalim apabila kita tidak menempatkan hak orang lain di tempat yang sepatutnya seperti firman Allah swt di dalam surah Asy-Syura ayat 42:

“Sesungguhnya dosa besar itu atas orang-orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa hak. Mereka itu mendapat azab yang pedih.”
Surah Luqman, ayat 42
Contohnya seperti apabila seorang suami menidakkan hak nafkah seorang isteri, seorang pemimpin menidakkan hak rakyatnya untuk dilindungi dan seorang pemegang amanah harta anak yatim mengambil harta tersebut untuk kepentingan sendiri.

Jangan #4: Jangan Fasik

Fasik (Al Fisq) berasal dari kata “fasaqa-yafsiqu/yafsuqu-fisqan-fusuqan” yang merupakan ungkapan orang Arab membawa maksud “keluar dari sesuatu.” Misalannya boleh diumpamakan seperti keluar dari kulitnya. Menurut penjelasan dari Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Fasik adalah perumpamaan bagi “terkupas kulit luarnya.”

Perumpamaan ini digunakan oleh masyarakat Arab bagi menggambarkan sesuatu yang tidak sempurna apabila terkupas. Saya begitu tertarik dengan ungkapan, ‘jika kulit luar (Islam) anda terkupas, mana mungkin isi dalamnya (Iman) itu sempurna; boleh jadi berkulat, boleh jadi dihurung lalat, mungkin juga sudah berulat!’

“Orang Fasik adalah orang yang melanggar perjanjian itu teguh, dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya dan membuat kerosakan di muka bumi. Mereka itulah orang yang rugi.”
Surah Al-Baqarah, ayat 27
Fasik membawa kepada ketidaksempurnaan Iman apabila seorang yang mengaku Muslim melanggar (fasaqa) dari melaksanakan Rukun Islam dengan sempurna. Mustahil orang yang tidak solat, tidak puasa dan tidak berzakat itu tinggi imannya.

Jadi perbuatannya samalah seperti melanggar ikrar dan bukti seorang Muslim kepada Tuhannya. Menurut Ibnu Manzhur di dalam Lisan al ‘Arab, fasik membawa kepada bermaksiat, meninggalkan perintah Allah swt dan menyimpang dari jalan yang benar.

Bermaksiat samalah dengan melakukan kerosakan dan dosa seperti ayat di atas. Kemuliaan seorang hamba Allah itu sebagai khalifah di bumi akan hilang apabila dia bersikap fasik seperti firmanNya:

“Allah telah berjanji kepada orang yang beriman di antara kamu serta mengerjakan amal soleh, bahawa Dia (Allah) akan menjadikan mereka khalifah di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang yang sebelum mereka menjadi khalifah. Dan Dia menggantikan (keadaan) mereka sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa (selama) mereka tetap menyembahKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan barangsiapa yang kafir sesudah janji itu, maka mereka itulah orang yang fasik.”
Surah An-Nur, ayat 55
Jangan #5: Jangan Munafik

Kata munafik berasal dari kata “nafaqa”, “yunafiqu”, “nifaqan” dan “munafaqatan”. Secara bahasanya, mewakili lubang bagi tempat keluarnya sejenis haiwan tikus dimana bila dicari di satu lubang, maka haiwan ini keluar melalui lubang yang lain.

Sifat tikus ini pada lubang-lubang tadi adalah perumpamaan bagi golongan munafik yang memiliki “dua wajah”. Di satu aspek mereka menampakkan keIslaman dan kebaikan tetapi di satu hakikat yang lain mereka menyembunyikan kekufuran dan kejahatan yang dilakukan.

Orang munafik diibarat berwajah dua; baik di luar, sebaliknya di dalam.

Mereka berpura-pura menganut Islam tetapi di dasar hatinya membenci Islam. Munafik adalah mereka yang berpura-pura dan hipokrit; samalah dengan membohongi siapa dirinya sebenar pada khalayak umum.

Sejak zaman Rasulullah saw sehingga kini, wujud golongan munafik di kalangan Umat Islam. Mereka ini yang menjadi pembelot, pengkhianat, mencetuskan peperangan, memecahbelahkan Umat dan merosakkan ketenteraman awam.

Mereka adalah api di dalam sekam dan duri di dalam daging kerana sifat mereka seperti di dalam hadith Rasulullah saw dari riwayat Abdullah bin Amru ra:

“Ada empat perkara jika sesiapa yang mempunyai empat perkara tersebut maka dia merupakan seorang munafik. Seorang yang bersifat dengan salah satu daripadanya bererti dia bersifat kemunafikan, sehinggalah dia meninggalkannya iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila membuat persetujuan dia mengkhianati, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila berlaku pertikaian dia melampau batas.”
Riwayat Muslim
Perlulah kita mengelak dari memiliki sifat-sifat di atas supaya kita jauh dari menjadi munafik tanpa disedari. Selain ciri-ciri di atas, Allah swt turut menjelaskan tentang sifat golongan munafik seperti berikut:

“Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik, dan mereka juga menggenggam tangannya. Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu merekalah orang-orang fasik.”
Surah At-Taubah, ayat 67
Rumusan

Satu kegembiraan yang tak dapat diluahkan dengan kata-kata.

“5 Jangan” di atas sebenarnya berhubung-kait antara satu sama lain. Sebahagiannya menjadi ciri-ciri bagi sebahagian yang lain.

Kerana itu untuk menjadi seorang Muslim yang benar-benar taat dan mengangkat kesucian ajaran Islam, kelima-limanya wajib dijauhi di dalam diri Muslim itu.

Terimalah Islam secara keseluruhannya dan bukan hanya sebahagian. Barulah kita semua bukan terdiri daripada “5 Jangan”.

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Nurul Akmal Ibrahim)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan