Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

SAYA TIDAK PERNAH SALAHGUNA WANG LDP: LIEW

Liew (lima dari kiri) dan pengerusi Sabahan Abroad UK, Nelda Hendon (tujuh dari kiri) serta pelajar lain selepas sesi dialog. Gambar SNT/Ehsan JPM

LONDON: Bekas presiden LDP, Datuk Liew Vui Keong menafikan menyalahguna wang yang dikreditkan ke dalam akaun parti dari tahun 2006 hingga 2012.

Dalam tempoh yang sama juga, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, semua transaksi telah direkod, diaudit dan diluluskan oleh perwakilan parti.

Liew berkata, beliau tidak mengetahui apa yang terjadi kepada wang dalam akaun Parti Liberal Demokratik (LDP) selepas beliau tidak lagi memegang jawatan Presiden parti itu selepas tahun 2013.

“Terdapat baki wang sumbangan dalam akaun Parti semasa mereka menggantung keahlian dan melucutkan jawatan saya sebagai presiden parti secara tidak sah pada Oktober 2013,” dakwanya.

Liew mendakwa bekas Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Teo Chee Kang dan Pemangku Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin menghalang beliau memasuki pejabat LDP pada tahun 2013 dan bertanggungjawab merampas wang dalam akaun bank tanpa pengetahuannya.

“Bagaimana saya dapat memasuki pejabat sedangkan mereka mengunci pintu pada masa itu?”

“Mereka juga telah mengambil semua fail parti, penyata akaun dan dokumen lain yang berkaitan,” katanya selepas sesi pertemuan dengan penuntut-penuntut universiti dari Sabah di Dewan Malaysia di sini, Sabtu.

Liew berada di London mengiringi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk lawatan kedua beliau (Mahathir) ke United Kingdom selepas menghadiri Perhimpunan Agung PBB di New York pada 29 September.

Terdahulu, sebuah blog yang dikenali sebagai steadyaku47.com mendakwa sejumlah cek bernilai RM3.5 juta telah disumbangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika itu di bawah nama LDP pada tahun 2013.

Penulis blog itu mendakwa bahawa Liew, yang merupakan bekas Presiden LDP pada masa itu telah memaksa bendahari parti untuk menandatangani bersama cek tersebut dan mengeluarkan wang tanpa pengetahuan ahli-ahli lain.

Bagaimanapun, menurut laporan berita Daily Express bertarikh 27 Sept, Chin mendakwa kenyataan itu sebenarnya dibuat oleh Setiausaha Agung parti kepada polis dua minggu lalu.

“Dalam kes ini, Setiausaha Agung pada masa itu bukanlah Teo kerana beliau telah melantik orang lain pada tahun 2013 selepas beliau menjadi Presiden parti,” jawab Liew.

“Setiausaha Agung pada masa itu yang memberi kenyataan kepada polis baru-baru ini tidak tahu mengenai perkara ini dan ia dibuat berdasarkan khabar angina dan spekulasi,” katanya lagi.

Liew berkata tuduhan bahawa dia memaksa Ken Fong yang merupakan Bendahari pada masa itu sukar dipercayai.

“Ini menunjukkan sejauh mana kebohongan yang mereka sanggup lakukan untuk mencapai agenda kotor mereka.”

“Sekiranya kamu kenal Ken Fong, kamu tidak akan percaya bahawa Ken Fong boleh dipaksa oleh sesiapapun untuk menandatangani cek untuk tujuan yang tidak baik,” katanya, sambil menambah bahawa akhirnya kebenaran akan diketahui juga.

Beliau menjelaskan bahawa semua pengeluaran wang dari akaun parti memerlukan tandatangan Bendahari Agung kerana beliau merupakan penandatangan wajib.

“Penandatangan lain adalah sama ada Presiden parti iaitu saya atau Teo Chee Kang yang merupakan Setiausaha Agung pada waktu itu,” katanya.

“Saya memegang jawatan sebagai ketua LDP selama tujuh tahun iaitu dari tahun 2006 hingga 2013 dan sepertimana semua orang tahu tidak ada cara bagi saya untuk menjalankan tugas saya tanpa sumbangan politik daripada penyokong-penyokong.”

“Bagaimanapun, saya gagal untuk mengekalkan kerusi Parlimen Sandakan. LDP juga telah kehilangan kerusi DUN Likas dan hanya berjaya memenangi tiga kerusi dalam pilihan raya umum ke-13 iaitu Tg Kapor oleh Teo Chee Kang, Karamunting oleh Charlie Pang Su Phin dan Merotai oleh Pang Nyuk Ming,” katanya.

“Krisis kepimpinan wujud pada akhir bulan Ogos 2013, kurang daripada tiga bulan selepas saya kalah dalam PRU13 pada 5 Mei.”

“Mereka bahkan meluluskan resolusi dalam mesyuarat agung parti yang berikutnya di mana mereka juga berjaya mengubah penandatangan saya kepada mereka,” katanya.

Liew juga percaya bahawa penyata kewangan Parti telah diaudit dan Laporan Tahunan telah diluluskan dan diterima oleh perwakilan Parti semasa Kongres mereka pada tahun 2013 hingga 2017.

“Saya tidak pasti jika mereka telah mengadakan Kongres pada tahun tapi saya yakin ini adalah sesuatu yang menarik untuk kita lihat sama ada mereka akan melaporkan perbelanjaan Pilihan Raya ke-14 pada 9 Mei di mana semua calon mereka telah mengalami kekalahan.

Ditanya sama ada beliau menerima surat daripada pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai sumbangan politik yang bernilai RM3.5 juta diberikan oleh Najib pada tahun 2012 dan 2013, Liew berkata beliau tidak dipanggil atau menerima surat daripada mana-mana pihak.

“Saya hanya nampak satu surat daripada pihak polis bertarikh Sept 7 kepada LDP yang ditularkan melalui media sosial tetapi oleh kerana saya tidak lagi bersama LDP, ia tidak membimbangkan saya sama sekali.

Bagaimanapun, Liew berkata beliau bersedia untuk dipanggil memberi keterangan kepada polis jika diperlukan.

“Malah, saya telah mendedahkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai perkara ini pada minggu pertama selepas perlantikan saya sebagai Menteri Kabinet Persekutuan pada 2 Julai.”

“Saya juga telah memberitahu pihak SPRM berkenaan isu yang sama,” katanya.-SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan