Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Saya tetap setia kepada UMNO – Yusof Apdal

MOHD Yusof (kanan) pada sidang media di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu hari ini. – Foto Mohd Adam Arinin

 

KOTA KINABALU: Ahli Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal berikrar tetap setia dengan UMNO walaupun sebelum ini direman enam hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana awam di Sabah.

Ketua UMNO Bahagian Silam itu berkata, siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu tidak menggugat kesetiaannya kepada UMNO dan juga Barisan Nasional (BN).

“Saya berikrar terus setia bersama UMNO dan BN serta menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

“UMNO Silam adalah bahagian yang terbesar di negara ini dan sebagai pemimpinnya, saya kena buktikan kita terus bersama dengan kepemimpinan untuk memenangi pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sebuah hospital swasta di sini, hari ini, berhubung episod penahanan beliau oleh SPRM pada 18 Oktober lalu sebelum dibebaskan kelmarin.

Mohd Yusof yang juga adik Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, ditahan di hospital bagi menjalani rawatan buasir sejurus dibebaskan SPRM.

Berhubung penahanan SPRM yang membabitkan adik-beradiknya, termasuk Mohd Shafie dan Hamid Apdal, Mohd Yusof berkata, beliau memahami tugas SPRM untuk menjalankan siasatan.

Mohd Shafie ditahan reman sejak Jumaat lalu dan dijadual dibebaskan Jumaat ini, manakala Hamid bersama menantunya yang ditahan sebelum ini sudah dibebaskan.

Mengenai Mohd Shafie, Mohd Yusof berkata walaupun mempunyai hubungan adik beradik, namun masing-masing mempunyai pendirian politik yang berbeza dengan beliau kekal dalam perjuangan UMNO.

Beliau berkata, tiada motif politik dalam siasatan SPRM berhubung kes penyelewengan RM1.5 bilion dana awam di Sabah.

Sehubungan itu, beliau berkata, rakyat Sabah, khususnya ahli UMNO bahagian Silam yang diketuainya, tidak perlu mendengar dan terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang mengaitkan siasatan kes itu dengan politik.

Katanya, SPRM hanya menjalankan tugas untuk menyiasat kes itu dan menyifatkan agensi berkenaan melaksanakan tanggungjawab secara profesional.

“Mereka (SPRM) juga layan saya dengan mesra, tiada tindakan di luar Prosedur Operasi Standard (SOP). Saya juga bersyukur kerana sepanjang dalam reman, SPRM membawa saya mendapatkan rawatan dua kali kerana masalah kesihatan.

“Terima kasih juga kepada ahli UMNO khususnya di Lahad Datu yang mengadakan solat hajat. Justeru itu, saya berharap tiada yang terpengaruh dakyah motif politik disebarkan pihak tertentu kerana ia tidak benar,” katanya. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan