Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,663

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Saya tak berdendam dengan Ruhainies – Adira

3:16pm 25/07/2016 Pak Roshan 1891 views Hiburan
ADIRA dan Ruhainies. - Foto Nik Hariff Hassan

ADIRA dan Ruhainies. – Foto Nik Hariff Hassan

KUALA LUMPUR: Penyanyi Adira Suhaimi, 25, berharap kisah rumah tangganya tidak disensasikan selepas berlaku kontroversi membabitkan suaminya, Datuk Seri Adnan Abu dan pelakon baharu, Ruhainies.

Pemilik nama penuh Siti Adira Suhaimi itu berkata, dia tidak melayan komen di laman sosial namun isu dibangkitkan mengguris hati apabila dilakukan sendiri insan terdekat, sekali gus dianggap seakan serangan peribadi.

“Hati isteri mana yang tidak emosi berhadapan insiden sebegini. Sejujurnya saya terguris dan meminta ruang untuk menenangkan fikiran. Saya tidak mahu membuat kenyataan dalam keadaan marah.

“Apa pun saya tidak menyimpan dendam terhadap Ruhainies kerana dia sudah menjelaskan perkara sebenar. Mengenai video itu, biarlah mereka menyelesaikannya sendiri.

“Cuma diharap jangan kaitkan video berkenaan dengan rumah tangga saya. Cukup-cukuplah dengan kenyataan demi kenyataan. Sepatutnya hal dalaman keluarga diselesaikan secara berbincang. Tidak perlu dihebahkan kepada orang luar,” katanya.

Beliau yang sebelum ini enggan membuka mulut memberi komen mengenai kenyataan suaminya di media berhubung keintiman dengan Ruhainies selain kesediaan menambah kuota isteri akhirnya tampil membuat penjelasan.

Begitupun, penyanyi yang bergelar isteri kedua itu masih selesa bercakap perkara perlu iaitu hanya membabitkan dirinya dan suami saja tanpa menyentuh pihak lain.

Ditanya mengenai kesahihan kehamilan seperti didakwa Adnan, Adira mengakui kandungannya kini baharu berusia dua minggu menerusi ujian dengan kit kehamilan yang dilakukan di rumah.

Berikutan situasi sekarang yang agak ‘panas’, beliau mengambil keputusan untuk menangguhkan dulu hasrat ke klinik bagi mendapat pengesahan doktor.

“Memang benar saya kini hamil dua minggu. Tetapi saya belum dapat pengesahan doktor sebaliknya hanya mengagak usia kehamilan berdasarkan kiraan sendiri. Ujian pun saya buat sendiri selepas membeli kit kehamilan.

“Masih terlalu awal sebenarnya untuk saya kongsikan dengan umum tetapi suami sudah maklumkan dulu. Buat masa ini paling penting adalah kandungan, perkara lain saya tolak tepi,” ulasnya ringkas.

Terdahulu, Ruhainies mengesahkan gambar dan video viral di sosial media pada Jumaat sememangnya membabitkan dirinya dan suami Adira.

Menerusi video berkenaan, kedua-dua mereka kelihatan mesra dan intim apabila lelaki yang sudah beristeri dua itu dilihat merangkul pinggangnya hingga mencetuskan tanda tanya.

Pelakon terbabit turut memaklumkan mereka saling mengenali selepas bekerjasama menjayakan sebuah video komersial sempena Hari Raya Aidilfitri lalu di bawah syarikat milik usahawan itu.

Adira yang juga naib juara program Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) itu sebelum ini mengaku bernikah dengan Adnan di Songkhla, Thailand, Disember tahun lalu. – BH Online

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan