Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Saya masih di sini jika diperlukan – Pairin Kitingan

TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairing berucap di majlis perasmian penutupan Hari Terbuka Bekalan Elektrik Sabah di pusat beli belah Imago. – Foto Khairull Azry Bidin

 

KOTA KINABALU: “Walaupun keputusan bersara sudah dibuat, namun saya fikir mungkin mampu menarik balik, untuk berkhidmat kepada rakyat, kalau dikehendaki, saya masih ada di sini,” tegas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, ketika mengulas pendiriannya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pairin berkata, keputusan muktamad sama ada menawarkan diri untuk mempertahankan kerusi atau meneruskan hasrat persaraan, hanya akan diketahui pada hari penamaan calon nanti tetapi setakat ini beliau masih kekal dengan pendirian bersara.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu berkata, satu jawatankuasa di peringkat pimpinan parti juga sedang membincangkan mengenai perkara itu dan beliau sendiri menunggu keputusan yang dibuat nanti.

“Bagi saya, hanya mahu menghabiskan masa bersama enam orang cucu tetapi kadang-kadang, apa yang dilakukan ini adalah kerana rakyat. Jadi saya tunggu apa keputusan tokoh-tokoh politik.

“Sekarang ini masih ada satu peratus untuk saya. Kita lihat nanti, mungkin ada ilham sebelum penamaan calon,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Penutupan Hari Terbuka Bekalan Elektrik Sabah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Jainab Ahmad Ayid, Ahli Parlimen Putatan Datuk Marcus Mojigoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru Datuk Edward Yong Oui Fah.

Pairin berkata, Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, ada menyatakan sebelum ini bahawa senarai calon bagi parti itu akan diumumkan lima hari sebelum penamaan calon dan beliau hanya menunggu keputusan yang dibuat nanti.

Sementara itu, Pairin menyatakan rakyat seharusnya sedar, apa yang mampu dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah yang terbaik untuk negeri dan rakyat Sabah.

Katanya, ini jelas terbukti apabila kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memberi manfaat yang banyak kepada negeri ini menerusi pelbagai projek pembangunan.

“Tentu sekali ini penting, kita tidak mahu proses pembangunan itu terganggu. Perdana Menteri tahu apa saja keperluan kita, bukan saja pembangunan infrastruktur dan ekonomi tetapi juga aspek keselamatan.

“Tidak seperti sebelum ini termasuk ketika Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. Beliau jarang sekali datang ke sini atau membantu Sabah, ini kerana beliau tidak ikhlas dan sayangkan Sabah,” katanya.

Beliau berkata, parti pembangkang masih terumbang-ambing dan rakyat perlu terus menyokong BN untuk pembangunan masa depan yang berterusan. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan