Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,501

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

‘Saya ini banduan jalan-jalan’ -Jumat

12:16pm 18/03/2017 Leolerry Lajius 8069 views Berita Pilihan,Kota Kinabalu,Politik,Tempatan

Jumat ketika ditemui media. -Gambar Oleh Alex Mairin

KOTA KINABALU: “Saya ini banduan jalan-jalan, saya masih dalam proses menjalankan penggantungan keahlian, jadi sudah pasti parti tidak akan memilih saya.”

Demikian ungkapan Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Jumat Idris ketika ditemui media dan ditanya sama ada akan dicalonkan semula pada pilihan raya akan datang ketika menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Muhibbah Likas, di sini, hari ini.

“Secara teknikal saya bukan ahli UMNO, tetapi terpulang kepada budi bicara pengerusi Barisan Nasional (BN) sama ada akan memilih saya dalam pilihan raya akan datang atau tidak,”katanya.

Ditanya sama ada akan mengemukakan permohonan untuk dicalonkan di kawasan lain jika tidak dicalonkan di Parlimen Sepanggar, Jumat menyatakan beliau tidak akan berbuat demikian.

“Saya tidak terfikir untuk berbuat demikian. Jika dewan bubar nanti dan jika tidak dicalonkan saya memilih untuk berehat kerana tidak semestinya saya perlu bertanding semula.”

“Saya merasakan sebagai wakil rakyat,sepatutnya seseorang harus menjalankan tugas dengan baik dan bergantung kepada pihak kerajaan, sekurang-kurangnya saya boleh membantu jika diperlukan,”katanya.

Jumat turut menyatakan bahawa beliau juga tidak dibenarkan menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh UMNO namun yang mengecewakan terdapat pihak yang menuduh beliau menyertai pembangkang.

“Larangan penyertaan saya dalam aktiviti parti menyebabkan ramai orang yang menuduh saya menyertai Parti Warisan dan yang sebenarnya mereka jugalah yang minta saya digantung.”

“Sekarang saya sudah digantung, tolong jangan timbulkan isu lain lagi. ”

“Saya seorang yang suka bekerja dan apabila digantung saya rasa bersyukur kerana lebih banyak masa saya luangkan bersama rakyat,”katanya.

Terdahulu, Jumat menyampaikan bantuan berupa wang tunai RM500 setiap seorang kepada mangsa yang terbabit dalam kebakaran rumah di Kampung Muhibbah, Likas.

Menurut Jumat, beliau juga akan berbincang dengan kementerian berkenaan dan pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu berhubung pemindahan atau penempatan semula mangsa yang terbabit.

Seramai 216 mangsa yang terbabit dalam kejadian yang memusnahkan 45 buah rumah dalam kejadian yang berlaku selasa lepas.-Oleh Leolerry Lajius/SayangSabah

Jumat menyampaikan bantuan kepada salah seorang mangsa. -Gambar Oleh Alex Mairin

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan