Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,727

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

‘Saya Dibuli Di Tempat Kerja’ – Mangsa

3:17pm 05/05/2016 Pak Roshan 707 views Jenayah,Mutakhir
gambar hiasan

gambar hiasan

KUALA LUMPUR – “Saya sering dibuli di tempat kerja” kata Faizah (bukan nama sebenar).

Faizah, juruaudit syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mentakrifkan tindakan terhadapnya seperti dibebani kerja rumit, diganggu dengan kata-kata kurang enak oleh rakan sekerja, sering pulang lewat akibat bebanan kerja, sebagai tindakan membuli terhadapnya.

Bagi akauntan syarikat swasta, Amira (bukan nama sebenar) pula, beliau merasakan dirinya dibuli apabila kemampuannya sering dipandang rendah pekerja senior.

Beliau turut beranggapan dirinya turut dibuli apabila sukar mendapat kebenaran bercuti, manakala sijil cuti sakitnya pula juga sering dipertikaikan.

Situasi seperti itu kerap berlaku di tempat kerja tanpa ada yang menyedari itu sebenarnya adalah perbuatan buli yang mampu menyebabkan mangsa mengalami trauma.

Menurut Ketua Jabatan Psikiatri Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof Dr Marhani Midin, buli di tempat kerja melibatkan tindakan penganiayaan atau penindasan secara fizikal atau mental.

Beliau berkata antara situasi buli di tempat kerja adalah sengaja memberikan tugasan yang berat dan sukar kepada pekerja yang tidak mampu melaksanakannya, merendahkan-rendahkan kemampuan seseorang dan tindakan meminggirkan pekerja tertentu sehingga mendatangkan gangguan psikologi.

Dr Marhani berkata, mereka yang dibuli akan tertekan dan tidak seronok dengan persekitaran tempat kerja, sekali gus menjejaskan produktiviti dan kualiti kerja.

“Budaya kerja di Malaysia ini agak membimbangkan kerana kita banyak diukur melalui pencapaian menerusi persaingan dengan rakan sekerja sehingga menyebabkan berlakunya penindasan kepada orang lain,” katanya.

Lebih membimbangkan, mangsa buli juga berhadapan masalah kesihatan yang berkaitan dengan tekanan seperti mengalami darah tinggi, asma, psoriasis (radang kulit) dan insomnia (tidak boleh tidur), katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, disebabkan definisi buli yang subjektif, tiada undang-undang yang spesifik bagi melindungi mangsa buli di tempat kerja, melainkan terdapat tindakan kekerasan fizikal atau ugutan.

Justeru beliau menasihati mangsa buli untuk melaporkan situasi yang dialami kepada pengurusan tempat mereka bekerja atau kepada polis sekiranya ia melibatkan gangguan melampau.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye pula berkata, semua organisasi perlu mengambil berat isu buli di tempat kerja kerana tekanan daripada perbuatan itu berkait rapat dengan isu keselamatan dan kesihatan pekerja.

Jelasnya majikan perlu bertanggungjawab melaksanakan rancangan mencegah atau mengurangkan risiko psikologi bagi membantu pekerja mereka mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat.

“Pengurusan risiko tekanan dan psikologi akan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat dan pekerja berasa dihargai.

“Ini akan menyumbang kepada persekitaran lebih positif, sekali gus meningkatkan lagi produktiviti dan prestasi syarikat,” katanya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan