Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sasaran turun kadar kemalangan

ops selamat

KOTA KINABALU: Sempena pelancaran Ops Selamat 5/2014 bagi negeri Sabah, polis menyasarkan penurunan statistik kemalangan pada musim cuti perayaan tahun ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, operasi yang bermula kelmarin hingga 4 Ogos depan itu melibatkan 20 kawasan ‘hot spot’ di seluruh negeri.

“Sepanjang Ops Selamat 1/2012, Sabah mencatatkan sebanyak 710 kes kemalangan jalan raya melibatkan tujuh kes kemalangan maut dengan sembilan kematian.

“Manakala Ops Selamat 3/2013, sejumlah 734 kes kemalangan direkodkan dengan kemalangan maut sebanyak 12 kes melibatkan 13 jumlah kematian,” katanya.

Pihaknya akan berusaha menempatkan anggota trafik di semua kawasan hot spot bagi menentukan perjalanan semua pengguna jalan raya lebih lancar.

Katanya, polis turut faham keadaan jalan raya di Sabah terutamanya yang digunakan untuk pulang ke kampung agak lama, panjang, sempit dan agak bahaya.

Justeru jelasnya, penempatan semua anggota trafik itu bukan setakat membantu melancarkan perjalanan malah mengawal keselamatan di jalan raya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Ops Selamat 5/2014 Sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kontinjen Sabah, di sini kelmarin.

Jalaluddin berkata, kawasan hot spot melibatkan hampir semua daerah di negeri ini termasuklah Kota Kinabalu, Penampang, Kota Belud, Tenom, Tuaran, Ranau, Kota Marudu dan juga Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurutnya, Ops Selamat turut mendapat kerjasama agensi yang lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).

Menurutnya, semua pihak saling berganding bahu dan bekerjasama bagi menentukan keselamatan di jalan raya terjamin.

Selain itu katanya, pendekatan polis dengan mengedarkan borang balik kampung untuk membanteras insiden pecah rumah bukanlah disebabkan kes terbabit mencapai tahap serius.

“Tanpa mengira sama ada kes pecah rumah berada pada tahap serius atau tidak, ini adalah perkhidmatan yang perlu disampaikan kepada masyarakat.

“Walaupun kawasan terbabit tidak pernah ada kes pecah rumah, polis tetap akan jalankan pemantauan di kawasan berkenaan tanpa perlu menunggu sehingga ada kejadian berlaku baru mahu bertindak,” katanya.

Pada majlis itu, Jalaluddin turut menyampaikan borang balik kampung kepada semua ketua polis daerah untuk diedarkan kepada masyarakat setempat khususnya mereka yang meninggalkan rumah sepanjang cuti Hari Raya nanti.

Komen


Berita Berkaitan