Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,499

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

SARA seru warga Ranau sertai Festival Karya Kreatif Ranau 2017

5:14am 22/04/2017 Elezebeth Esther Onjining 99 views Aktiviti,Hiburan,Pelancongan,Tempatan

Salah satu gambar daripada peserta fotografi berlokasi di Kundasang, Ranau.

RANAU: Skuad Anak Ranau (SARA) mengajak warga daerah ini untuk menyerlahkan kreativiti mereka dengan menyertai pertandingan karya kreatif sempena Festival Karya Kreatif Ranau (FKKR) 2017.

Menurut Presidennya, Mohd Zulhadi Saimin tiga jenis kategori dibuka kepada penyertaan iaitu fotografi, videografi serta filem pendek mengikut tema yang diberi.

“Penyertaan adalah terbuka kepada semua warga Ranau untuk mengabadikan keindahan tempat kelahiran kita dalam tiga kategori yang dipertandingkan.

“Penyertaan masih dibuka dan kami menanti penyertaan daripada warga Ranau agar kita dapat mempromosikan daerah indah ini sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Beliau berkata festival itu sedang berlangsung selama sebulan, sejak 15 April lagi dan berakhir pada 15 Mei nanti.

Menurut Zulhadi, hadiah menarik ditawarkan bagi setiap kategori iaitu RM1,500 bagi Johan Kategori Fotografi manakala RM2,000 bagi Johan Kategori Videografi dan Filem Pendek.

Jelasnya, hadiah berjumlah RM9,000 merupakan sumbangan daripada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun ketika program ‘Apa Kata Gen-Y’ berlangsung di Ranau pada 11 Mac lepas.

Sementara itu, peserta pertandingan videografi Muhammad ZulFadli Fadzli Saritim, 24, berkata festival berkenaan merupakan satu idea yang sangat relevan untuk dianjurkan.

“Belum ada lagi mana-mana organisasi sebelum ini yang menjemput penduduk Ranau untuk mengekspresikan kreativiti untuk dipertandingkan sekaligus mempromosikan daerah ini.

“Tema yang diberikan pula sangat menarik dan mampu memupuk rasa cinta dan bangga kerana mempunyai daerah yang indah.

“Hadiah yang diuar-uarkan pula, sangat memberikan motivasi kepada kami untuk menghasilkan karya yang terbaik untuk dihantar kepada penganjur,” jelasnya.

SARA merupakan satu persatuan yang terdiri daripada anak-anak jati Ranau yang diilhamkan bersama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Panglima (DSP) Masidi Manjun.

Yang turut disokong oleh Lembaga Pelancongan Sabah, Tourism Malaysia dan Pejabat Daerah Ranau.

Dalam pada itu, dalam satu video yang dihasilkan oleh SARA, Masidi menyampaikan pesanan agar masyarakat Ranau memancar dan mengekspresikan bakat seni terpendam mereka melalui tema, ‘Ranau di Hatiku’.

Majlis Penutupan Festival dan penyampaian hadiah akan diadakan pada 20 Mei nanti. Maklumat lanjut terdapat di fb.me/SkuadAnakRanau. -Penerangan

Presiden SARA merangkap Pengarah FKKR, Zulhadi.

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan