Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

SAR 4 pelancong hilang di Kudat masuk hari ketiga

10:30am 05/05/2016 Pak Roshan 1498 views Berita Pilihan,Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) empat mangsa yang hilang di perairan Kudat. - Foto ihsan APMM

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) empat mangsa yang hilang di perairan Kudat. – Foto ihsan APMM

KUDAT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) empat mangsa termasuk tiga pelancong yang hilang di perairan Kudat sejak Isnin lalu, masuk hari ketiga, hari ini.

Operasi membabitkan lapan aset daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) itu diperluaskan ke kawasan pencarian baharu.

Turut digunakan dalam operasi itu ialah sebuah helikopter AS365 Dauphine milik APMM, serta pesawat Beachcraft milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pegawai Operasi Maritim Daerah Kudat, Leftenen Komander Maritim, Boon Chin Chau, berkata operasi dimulakan jam 8 pagi tadi di lokasi pencarian baharu yang diperluaskan hingga ke perairan berhampiran Pulau Mantanani di Kota Belud.

“Kawasan pencarian diperluaskan memandangkan semua mangsa masih gagal ditemui sejak operasi SAR dimulakan kelmarin,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Semalam operasi pencarian empat mangsa tertumpu di barat Simpang Mengayau seluas 750 batu nautika persegi.

Empat mangsa itu dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang dengan sebuah bot dari Pulau Balambangan ke tempat penginapan mereka di Tanjung Simpang Mengayau, di sini, lewat petang Isnin lalu, sebelum kehilangan mereka dilaporkan oleh pemilik bot, pagi kelmarin.

Mereka adalah David Hernandes Gasulla dan Martha Miguel (Sepanyol) kedua-duanya berusia 30 tahun; warga China, Lam Wai Yin, 45, dan rakyat tempatan dikenali sebagai Ella, 23.

Semua mangsa, masing-masing dua lelaki dan dua perempuan sepatutnya tiba di Tanjung Simpang Mengayau pada jam 8 malam Isnin lalu. – BH Online

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan