Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,642

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

SAMORA sokong terminologi “Momogun” ganti “KDMR”

5:28pm 15/05/2016 Elezebeth Esther Onjining 1486 views Tempatan
Dari Jelani Hamdan

Dato’ Jelani Hamdan

KOTA KINABALU: Persatuan Momogun Rungus Sabah (Sabah Momogun Rungus Association) (SAMORA) tetap dengan pendirian penggunaan terminologi “MOMOGUN” paling sesuai bagi merujuk kepada identiti penduduk asal Sabah.

Presidennya Dato’ Jelani Hamdan berkata, sejak tahun awal pembentukan SAMORA iaitu 1984 lagi persatuan ini telah mengunapakai perkataan Momogun. Dan pada tahun 2013 beliau telah secara rasmi mencadangan penggunaan terminologi “Momogun” bagi menggantikan  KadazanDusun Murut Rungus (KDMR) sebagai identiti  pribumi atau penduduk asal Sabah.

Katanya, beliau mengemukakan cadangan penggunaan perkataan Momogun untuk menggantikan KDMR supaya tidak menyebabkan kekeliruan dan kecelaruan.

Menurutnya, pada masa itu cadangan itu telah mendapat respon yang baik oleh Tan Sri Bernard Dompok dengan penubuhan Pertubuhan Rumpun Momogun Malaysia (loose confederation).

“Jika kita masih gunakan KDM atau KadazanDusun Murut Rungus (KDMR), suatu masa nanti jumlah 4 huruf tersebut akan terus bertambah.

“Apa tidaknya jika suku kaum lain seperti Tobilung, Kimaragang, Tindal, Sonsogon dan sebagainya pasti akan meminta nama suku kaum mereka dimasukkan, maka akan jadilah KDMRTKTS dan ada lebih 40 lagi huruf menyusul.

“Oleh itu, sebagai jalan terbaik dan adil, maka istilah MOMOGUN adalah jawapan dan penyelesaian terbaik”, tegasnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Momogun National Congress (MNC) agar istilah ‘Momogun’ digunakan sebagai merujuk kepada kaum pribumi Sabah iaitu Kadazandusun dan Murut serta komuniti yang menggunakan bahasa etnik terbabit.

Cadangan MNC itu turut mendapat perhatian Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun Murut yang melihat cadangan itu tidak praktikal dan mahu kekal menggunakan istilah Kadazandusun bagi merujuk etnik pribumi berkenaan.

Sementara Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup pula mencadangkan satu kaji selidik perlu dibuat terlebih dahulu untuk menentukan terminologi sesuai bagi merujuk kepada identiti pribumi atau penduduk asal Sabah.

“Ada baiknya (buat) kaji selidik terlebih dahulu, apa terminologi yang orang kita mahu gunakan (bagi merujuk identiti) mereka. Jika tidak, kita tidak akan dapat menyelesaikannya,” katanya.

Jelani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong berkata, soal sama ada KDCA setuju atau tidak, ia bukan masalah besar kerana Rungus tetap menggunakan perkataan Momogun.

“Ianya bukan bukan perkara baru. Ia bermula sejak dari nenek moyang kami lagi”, tegasnya.

Beliau berkata, demi  masa depan KDMR perkataan yang universal untuk suku kaum perlu digunapakai.

Katanya, semasa era Tun Fuad Stephens, beliau telah memperkenalkan “Bangsa Baru” yang akan menaungi semua suku kaum KDMR iaitu “Kadazan”.

Menurutnya, maksud atau tafsiran perkataan Kadazan bagi Tun Fuad ialah semua etnik atau sub-etnik Dusun, Rungus atau KDMR bernaung di bawah Kadazan. Sedikit sebanyak objektif ini tercapai melalui KCA (Kadazan Cultural Association).

Bagaimanapun, Persatuan Dusun Sabah (USDA) telah “memberontak” dan telah mengubah dimensi baru. Maka KCA ditukar kepada KDCA (Kadazan Dusun Cultural Assicuation).

Sehingga lewat 90-an, wujud pula panggilan singkat untuk lebih 40 etnik dalam KDCA iaitu KDM. Mereka mengambil nama singkat bagi 3 etnik terbesar dalam KDCA. Di sinilah R tertinggal kerana Rungus pada pandangan Kadazan hanyalah sub-etnik dan bukan etnik penuh.

Katanya, selaku Presiden SAMORA, beliau berkeras menentang pengklasifikasi ini.

“Pada masa itu, saya juga berkeras dan menghalang SAMORA dari bernaung atau bergabung dengan KDCA walaupun ada sebahagian Ahli Majlis Tertinggi (AMT) SAMORA membuat cadangan penggabungan tersebut dan kemudiannya bertindak meninggalkan persatuan ini.

“Hanya SAMORA yang dapat bertahan untuk tidak bergabung dengan KDCA pada masa itu. Akhirnya kita dapat buktikan bahawa bangsa Rungus itu adalah satu bangsa dan bukan hanya sub etnik”, jelasnya.

Tambahnya, masalah kebimbangan mengenai penyalahtafsiran perkataan Momogun dengan memasukkan semua penduduk atau penghuni asal Sabah, boleh diatasi dengan membuat tafsiran dan pernyataan jelas jumlah etnik dan kaum yang layak bernaung di bawah Momogun. -SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan