Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,767

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Sambungan Elektrik Haram: SESB Rugi RM64 Juta

6:30pm 24/10/2016 Pak Roshan 1457 views Mutakhir,Sandakan,Tempatan

sesb

SANDAKAN – Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) menganggarkan kerugian RM64 juta setahun disebabkan oleh aktiviti sambungan elektrik haram di kawasan setinggan.

Pengurus Besar Kanan Pengurusan Aset SESB, Muhamad Nazri Pazil berkata kerugian itu disumbangkan oleh 178,000 rumah setinggan yang dianggarkan terlibat dengan kegiatan itu di seluruh negeri ini.

Kegiatan penyambungan haram itu dikenal pasti antara punca utama kekerapan gangguan elektrik di kawasan yang mempunyai banyak rumah setinggan, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 Beliau berkata operasi berterusan dilaksanakan bagi membanteras kegiatan itu dan terbaharu ia dilaksanakan selama dua hari iaitu pada 22 dan 23 Oktober lepas di kawasan setinggan di kawasan Batu Sapi dan Batu 3 di sini.

Operasi itu turut melibatkan beberapa agensi penguat kuasa iaitu Suruhanjaya Tenaga, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Polis, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Gerakan Am, Majlis Perbandaran Sandakan, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Bekalan Air Negeri Sabah dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Muhamad Nazri berkata dalam operasi itu, pihak SESB turut merampas wayar kabel sambungan haram pelbagai saiz seberat lebih kurang 300 kilogram yang dipercayai digunakan untuk membuat sambungan haram.

Beliau berkata SESB berharap operasi seperti ini akan terus dipergiat kerana ia juga boleh mengakibatkan renjatan atau kemalangan maut kepada pelaku atau orang awam. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan