
SEMPORNA – Kerajaan disaran menyalurkan bantuan awal persekolahan sebelum bermulanya sesi persekolahan dan bukan seperti yang dilaksanakan pada ketika ini, bagi membantu ibu bapa membuat persediaan persekolahan anak-anak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, Datuk Nasir Sakaran berkata, golongan ibu bapa terutamanya di kawasan luar bandar amat memerlukan bantuan untuk membuat persediaan awal membeli pelbagai keperluan sekolah anak-anak mereka.
“Kita juga meminta kepada pihak sekolah tidak membuat sebarang pemotongan kepada jumlah bantuan dan diserahkan sepenuhnya kepada golongan ibu bapa,” kepada pemberita selepas penyerahan Bantuan Buku, Alat Tulis kepada lebih 400 pelajar dan menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan berjumlah RM12,000.
Bantuan persekolahan bernilai RM100 seorang yang diumumkan menerusi Bajet 2015 itu diagihkan kepada 5.4 juta pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara mulai 14 atau 15 Januari 2015 secara berperingkat-peringkat.
Nasir berkata, golongan ibubapa perlu memanfaatkan bantuan awal persekolahan itu sepenuhnya untuk keperluan persekolahan anak-anak mereka dan tidak disalahgunakan untuk keperluan lain. – SayangSabah