Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,657

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Salleh: Tiada peruntukan dalam Perlembagaan bolehkan Agong pecat PM

4:24pm 14/05/2016 Pak Roshan 614 views Mutakhir,Nasional
Datuk Seri Salleh Said Keruak

Datuk Seri Salleh Said Keruak

Tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong untuk memecat Perdana Menteri, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Merujuk kepada gembar-gembur mengenai satu juta tandatangan yang kempen “Selamatkan Malaysia” yang sepatutnya diperoleh bagi menyokong petisyen itu, Salleh berkata, amat sedikit Seri Paduka boleh lakukan mengenai petisyen ini.

“Sudah tentu, ia cuma untuk memberi gambaran bahawa Perdana Menteri telah kehilangan sokongan, anda sentiasa boleh mendapatkan satu juta tandatangan dan menghantar petisyen mengandungi tandatangan ini kepada Agong.

“Tetapi persoalannya kemudian ialah apa? Adakah kamu akan mendesak Agong memecat Perdana Menteri walaupun itu menyalahi undang-undang?, katanya menerusi catatan dalam blog beliau sskeruak.blogspot.com, semalam.‎

Beliau berkata, walaupun orang berkata bahawa kerajaan perlu menghormati dan mematuhi Perlembagaan, mereka yang menentang kerajaan juga harus melakukan perkara yang sama.

Beliau berkata, Perlembagaan secara khusus menyatakan bahawa Anggota Dewan yang mendapat kepercayaan majoriti Anggota-anggota Dewan dipilih menjadi Perdana Menteri.

“Atas semangat yang sama, jika Perdana Menteri hilang sokongan majoriti Ahli-ahli Dewan, maka beliau perlu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Ini bermakna bukan hanya Perdana Menteri tetapi parti yang dipimpin Perdana Menteri disingkirkan dan parti dari pihak lain mendapat kepercayaan untuk membentuk kerajaan baharu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, untuk itu berlaku, Anggota-Anggota Parlimen dari parti yang memerintah perlu berpaling ke kem pembangkang.

“Selain itu, tiada peruntukan dalam Perlembagaan yang membolehkan Agong memecat Perdana Menteri.

“Parti pimpinan Perdana Menteri sendiri harus berbuat demikian (seperti dalam kes Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim) atau Anggota Parlimen dari parti pimpinan Perdana Menteri sendiri perlu menyeberang ke kem pembangkang (seperti dalam kes Menteri Besar Perak Nizar Jamaluddin),” katanya. – Bernama

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan