Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,702

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Salleh Seru Institusi Pengajian Lahirkan Lebih Banyak Siswazah Industri Kreatif Bertaraf Dunia

8:26pm 01/12/2015 Pak Roshan 12 views Mutakhir,Nasional

salleh

PETALING JAYA : Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyeru institusi pengajian tinggi negara ini melahirkan lebih banyak siswazah industri kreatif bertaraf dunia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Beliau berkata, berikutan perkembangan pesat industri kreatif dan kandungan, permintaan terhadap bakat kreatif juga berkembang pada kadar luar biasa.

“Oleh demikian, kita memerlukan lebih banyak siswazah bagi memenuhi permintaan tinggi oleh industri,” katanya ketika melakukan lawatan ke Point College di sini hari ini.

Salleh berkata kerajaan melaksanakan pelbagai langkah bagi menyokong agenda pembangunan industri kreatif di negara ini, termasuk menaja pelajar melalui program Pembelajaran Sepanjang Hayat Industri Kretif (CILL) di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Katanya, sehingga kini, kerajaan memperuntukkan RM30 juta untuk tujuan itu, yang memberi manfaat kepada 720 orang melalui empat skim.

Empat skim di bawah program CILL itu ialah Skim A – Peningkatan Kemahiran dan Latihan Semula; Skim B – Sangkut dan Latihan; Skim C – Anugerah Ilmiah; dan Skim D – Persijilan Kemahiran Kreatif.

Salleh memuji pelajar Point College Chong Hui Thing, penerima tajaan program CILL kerana memenangi hadiah utama kategori Terbuka Pertandingan Foto Nikon 2015 Julai lepas.

“Saya percaya ini merupakan pengalaman istimewa seumur hidup baginya dan kejayaannya membuktikan bahawa kita memiliki kemampuan kreatif serta bakat untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” kata beliau sambil menjelaskan bahawa pertandingan itu menerima 99,339 penyertaan dari 153 negara, yang dihakimi 17 panel hakim dalam pelbagai bidang dari seluruh dunia.

Turut hadir, presiden Point College Yoki Chin dan ketua pengarah FINAS Datuk Kamil Othman.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan