Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Salleh Said Keruak jalan tugas Pengerusi UMNO Sabah

Bendahari UMNO Malaysia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

 

KOTA KINABALU: Bendahari UMNO, Datuk Seri Salleh Said Keruak kini menjalankan tugas sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, kata Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah mengambil alih tugas itu daripada bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.

Ketika ditemui selepas majlis perjumpaan tertutup bersama pemimpin UMNO Sabah di sini semalam, Ahmad Zahid berkata, keputusan itu dibuat bagi melicinkan perjalanan UMNO Sabah.

“Datuk Seri Salleh menjalankan tugas sebagai Pengerusi Perhubungan (UMNO) Sabah sebab kita percaya Tan Sri Musa Aman akan memfokuskan permasalahan perundangan yang beliau sedang tangani,” katanya.

Ini kali pertama Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri hadir ke Sabah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas isu lain membabitkan UMNO Sabah termasuk mengenai tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang menyokong Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Musa yang ‘hilang’ sejak hampir tiga minggu lalu dilaporkan berada di London untuk mendapatkan rawatan kesihatan, namun tiada rekod oleh Jabatan Imigresen menunjukkan bekas Ketua Menteri Sabah itu meninggalkan negara ini.

Musa dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung laporan polis dibuat Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin berkaitan ugutan jenayah pada 14 Mei lalu.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut hadir ke kediaman Musa di Kota Kinabalu, namun tidak dapat memasukinya kerana beliau tiada di rumah.

Ia dipercayai ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri selepas PRU-14. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan