Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Salleh Permata Bagi Penduduk Di Kota Belud

KOTA BELUD – Ketika penduduk di kawasan Parlimen Kota Belud teruja untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei ini, seorang daripada pemimpin yang memberi impak mendalam terhadap kehidupan mereka sudah pastilah anak jati Kota Belud, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Peramah dan mudah didekati, Salleh adalah seorang pemimpin bijaksana yang sentiasa menzahirkan keprihatinannya kepada masyarakat Bajau Sabah.

Tidak sombong dan visi beliau adalah menawarkan khidmat terbaik untuk rakyat di kawasan pedalaman ini agar mereka beroleh sumber pendapatan yang lebih baik.

Malah sebelum ini dan semasa memegang jawatan Ketua Menteri Sabah, pemimpin berjiwa rakyat ini amat disenangi ramai. Semua orang di sini berkata walaupun sibuk, namun Salleh tetap ada masa untuk diluangkan beramah mesra atau berkongsi pendapat dengan mereka yang memerlukan nasihatnya.

Karakter beliau yang mudah didekati, tidak berubah walaupun selepas dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia dan selaku Bendahari UMNO. Walaupun dengan tanggungjawab dan beban kerja yang semakin meningkat, Salleh tetap kerap pulang ke Sabah untuk bersama-sama anggota keluarganya dan penduduk tempatan, khususnya di Kota Belud.

Pemimpin ini akan memanfaatkan setiap peluang untuk kembali ke Sabah dan jelas sekali Kota Belud sentiasa dekat di hatinya. Walaupun lebih mudah kerana kekangan tugasnya untuk menghabiskan masa yang panjang di Semenanjung, namun Salleh tetap memasukkan dalam jadualnya untuk terbang ke Sabah sekerap mungkin.

Ini kerana keutamaan beliau adalah rakyat Sabah. Selaku anak jati Kota Belud, beliau menawarkan khidmatnya seikhlas hati bagi memastikan keperluan warga Kota Belud ditangani. Penduduk Kota Belud tidak perlu gusar kerana mandatnya tidak pernah goyah untuk memperjuangkan keperluan mereka.

Walaupun segelintir yang mempunyai fahaman politik berbeza, tidak bersetuju dengan pendirian Salleh, namun mereka tidak menyerang kejujuran dan integritinya.

Salleh tahu bahawa sebagai pemimpin yang dikenali, beliau mewakili rakyat di kawasannya, kerajaan, keluarga dan kepercayaan beliau.

Andrew Tolud dari Kampung Tambulion di sini berkata penduduk di sini amat bersyukur mempunyai seorang pemimpin berjiwa rakyat, yang bukan sahaja amat dihormati oleh penduduk tempatan di Kota Belud dan di negeri ini, malah di seluruh negara.

Abd Kasim berkata selepas jalan Kota Belud-Tuaran dinaik taraf, ia telah memendekkan perjalanan dari Kota Belud ke Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah.

“Salleh adalah penyandang kerusi Parlimen Kota Belud dan bekas ketua menteri Sabah, dan bagi saya…beliau adalah ahli politik yang berpengalaman yang mempunyai kekuatan dan keupayaan yang luar biasa untuk menjalankan tugasnya dengan cemerlang.

“Daripada pemerhatian saya, Salleh telah memberikan perkhidmatan yang baik selaku menteri persekutuan atau Menteri Komunikasi dan Multimedia dan dia boleh pergi jauh dalam kerjaya politiknya,” kata Abd Kasim.

Pada 28 Dis 1994, Salleh, pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Politik dan Kerajaan dari Universiti Putra Malaysia, dilantik sebagai ketua menteri Sabah. Tempoh beliau sebagai ketua menteri berakhir pada 26 Mei 1996 dan beliau digantikan Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee.

Bagi Elsianna Samuel dari Kampung Tempasuk 1 berkata Salleh sangat prihatin dan sentiasa menjaga keperluan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan jantina.

“Selain seorang yang peramah dan pemurah, Salleh juga telah membuktikan kualiti kepimpinannya dengan memastikan Kota Belud terus menikmati pembangunan dalam semua aspek kehidupan, termasuk meningkatkan kemudahan internet atau penembusan jalur lebar dan pendidikan,” kata Elsianna.

Seorang usahawan dari Kampung Tombol, Jamaika Kirau berkata dengan sokongan Salleh, beberapa program penting untuk wanita dan belia telah dilaksanakan di Kota Belud.

“Melalui program ini, lebih banyak wanita di daerah Kota Belud menceburi bidang perniagaan berskala kecil dan sebahagian daripadanya telah menjadi usahawan,” katanya.

Menurut Jamaika, Salleh juga memainkan peranan melonjakkan ekonomi tempatan, terutama dalam industri pelancongan di Kadamaian.

“Salleh memberi sokongan penuh kepada Persatuan Pelancongan Kadamaian untuk mempromosikan Kadamaian sebagai produk pelancongan atau tarikan untuk Kota Belud dan sekarang ribuan pelancong melawat Kadamaian, yang telah memberi manfaat kepada penduduk tempatan dari segi pendapatan dan kehidupan mereka.

Sehubungan itu, Jamaika menggesa penduduk untuk bersatu dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pemimpin anak tempatan berusia 60 tahun itu yang akan membawa Kota Belud, yang terkenal dengan jolokan ‘Daerah Koboi Timur’ dan pasar minggunya, Tamu Kota Belud, ke tahap yang lebih tinggi. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan