Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Salleh Dilantik Semula Sebagai Presiden Kehormat PPNS

7:19pm 23/08/2016 Pak Roshan 44 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

salleh

KOTA KINABALU : Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dilantik semula sebagai presiden kehormat Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) bagi tempoh 2016-2019.

Pelantikan semula berkenaan diumumkan Pengerusi PPNS Datuk Mohd Nazri Abdullah bersempena mesyuarat agung tahunan kali ke-29 PPNS di sini hari ini.

Mohd Nazri dalam kenyataannya hari ini berkata pelantikan semula Salleh sebagai presiden kehormat itu dibuat selepas mengambil kira sumbangan, sokongan berterusan serta komitmen tinggi beliau membantu PPNS selama ini.

Salleh yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Usukan dilantik sebagai presiden kehormat PPNS sejak 1995.

Sementara itu, Mohd Nazri berkata beliau menghargai kerjasama dan sokongan erat yang diberikan oleh seluruh anggota Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang bernaung di bawah PPNS.

Katanya, dukungan kuat semua anggota telah membolehkan PPNS bergerak sebagai sebuah organisasi yang kuat dan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi luar bandar, seterusnya meningkatkan sosioekonomi masyarakat peladang.

Beliau turut mengulangi komitmen PPNS membangunkan sektor pertanian dan perladangan, sekali gus membantu kerajaan mengurangkan pergantungan kepada produk import.

Dalam pada itu, Mohd Nazri yang juga timbalan pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) berharap Bajet 2017 yang bakal dibentangkan pada Oktober depan turut memberi tumpuan dan perhatian bagi membela nasib masyarakat peladang.

Katanya, selain dana menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, kerajaan juga boleh mempertimbangkan pelbagai bentuk insentif kepada peladang terutama di Sabah dan Sarawak yang mempunyai kawasan pertanian begitu luas.

“Kita berharap Bajet 2017 menumpukan kepada pembangunan sektor pertanian sebagai enjin pertumbuhan ekonomi baharu negara kita,” katanya, sambil merujuk Bajet 2016 yang menyediakan sejumlah RM5.3 bilion untuk melaksana pelbagai program bagi golongan peladang, penternak dan nelayan.

Katanya peranan sektor perladangan amat penting dalam mengimbangi ketidaktentuan ekonomi berikutan harga pasaran minyak global yang tidak stabil akibat pergolakan politik dunia.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan