Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Salleh Beri Amaran Tindakan Tegas Terhadap Pihak Salahgunakan Media Sosial

8:17pm 20/01/2016 Pak Roshan 389 views Mutakhir,Nasional
Datuk Seri Salleh Said Keruak

Datuk Seri Salleh Said Keruak

CYBERJAYA : Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang menggunakan media sosial untuk menyemai kebencian terhadap institusi kerajaan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata, ini merupakan antara keputusan yang dicapai pada mesyuarat sulung jawatankuasa khas yang dibentuk baru-baru ini bagi menangani isu penyalahgunaan media sosial, yang dipengerusikan beliau hari ini.

Mesyuarat turut dihadiri Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, katanya pada majlis prapelancaran Minggu Media Sosial Malaysia 2016 di Limkokwing University of Teknologi Kreatif di sini.

Jawatankuasa berkenaan turut dianggotai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Seri Dr Halim Shafie.

“Mesyuarat bersetuju, bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang menggunakan media sosial bagi tujuan memfitnah, menyalahgunakan atau menghasut orang lain untuk memperkecilkan kedudukan atau menyemai kebencian terhadap institusi kerajaan,” kata Salleh.

Beliau berkata jawatankuasa berkenaan juga bersetuju bahawa Polis Diraja Malaysia akan menerajui siasatan bersama-sama dengan MCMC.

“Peguam Negara telah menugaskan seorang Timbalan Pendakwa Raya yang khusus bagi tujuan ini dan akan menggunakan setiap undang-undang yang ada bagi memastikan mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin,” katanya.

Salleh berkata pembentukan jawatankuasa pemantauan khas, tidak perlu disalahtafsirkan kerana ia diwujudkan bagi melindungi kepentingan masyarakat umum.

“Ia adalah perlindungan dan langkah persediaan untuk mengelak media sosial daripada menjadi punca pencetus kekacauan misalnya melalui penyebaran pembohongan, kebencian dan kumpulan pelampau agama,” katanya.

Beliau berkata kerajaan serius dalam meningkatkan kesedaran rakyat mengenai bahaya penggunaan Internet, ekoran peningkatan kejadian jenayah yang semakin meningkat.

“Semakin ramai rakyat Malaysia menjadi mangsa kepada penipuan penjenayah siber dalam talian dan kerugian wang berjuta-juta ringgit daripada hasil titik peluh mereka.

“Dalam hubungan ini, kerajaan menyokong sepenuhnya penubuhan Pusat Inovasi Digital Negara,” katanya.

Minggu Media Sosial Malaysia kelima dijadual berlangsung dari 7 Mac hingga 13 Mac di Kuala Lumpur.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan