Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,650

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Sahabat Hingga Ke Syurga

5:29pm 18/02/2016 Zakir Sayang Sabah 53 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Mendengar lirik lagu You Are The One dendangan Raef ini, membuatkan saya tersenyum sendiri. Hati saya pantas terkenangkan beberapa nama penting dalam kamus hidup saya. Memiliki beberapa sahabat baik dari zaman remaja hingga kini, merupakan satu anugerah Allah s.w.t yang tidak ternilai kepada saya.

Anda ada sahabat? Tidak semestinya sahabat baik, cukuplah mempunyai satu atau dua nama yang membuatkan kita tersenyum teringatkan mereka. Kata orang, zaman remaja penuh kenangan kerana kita dikelilingi sahabat.

Kenangan bersama sahabat tak akan terpisah.

Malah, banyak juga keputusan hidup kita waktu itu dipengaruhi oleh mereka. Betul tak? Menginjak dewasa, kita pasti bertemu dengan kawan baru. Yang lama, kini jarang bersua.

Tetapi segala kisah pahit manis bersama masih terlipat kemas dalam ingatan. Ada teman yang berubah dan mengubah kita ke arah yang lebih baik dan ada juga yang sebaliknya. Biasanya, kawan yang pernah melalui jerit-perih bersama, mempunyai tempat yang istimewa di dalam hati kita.

Jadilah Sahabat yang Terbaik

Rasulullah s.a.w bersabda:

“Jangan kamu bersahabat melainkan dengan orang yang beriman dan jangan berikan makan kecuali kepada orang yang bertakwa.”
Hadis Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi

Adakalanya mereka yang kita kenali, tidak lagi seperti dahulu. Ada yang diduga Allah dan dibadai ombak kehidupan. Sebagai sahabat, jadilah sahabat yang setia dan tidak meninggalkan mereka di saat mereka benar-benar memerlukan kita.

Bukan sahaja kita perlu mencari sahabat yang baik, malah kita juga harus menjadi sahabat terbaik yang ditunggu-tunggu oleh kawan-kawan kita.

Jadilah yang terbaik buat sahabat selama-lamanya.

Ada masanya, berat juga lidah untuk menegur kesilapan seorang sahabat. Meskipun pedih hati mereka, namun jauh di sudut hati pasti akan menerima, rupanya masih ada yang sayang.

Sahabat yang baik tidak akan pernah meninggalkan sahabatnya menuju ke arah kebinasaan. Katakanlah, walaupun ianya pahit. Hanya sahabat sahaja tahu cara terbaik untuk memberitahu sesuatu berita baik mahu pun buruk. Pengalaman pasti akan mengajar kita.

Mendorong Kejayaannya di Dunia dan Akhirat

Lama bersahabat pasti ada rakan kita yang sangat berjaya di dalam kehidupannya. Sudah pasti setiap kejayaan itu tidak mudah diraih, dan banyak pula pengorbanan yang telah ditempuhinya.

Kekal bersahabat dengan mereka dan berikan galakan tanpa syarat agar mereka terus berjaya. Dia kekal menjadi sahabat anda selagimana dia menerima anda seadanya.

Menelusuri kisah Saidina Abu Bakar As-Siddiq menimbulkan keinsafan di hati kita. Persahabatan beliau dengan baginda Rasulullah s.a.w begitu indah dimana beliau mengorbankan seluruh harta benda dan jiwa raganya demi menegakkan syiar Islam.

Beliau sentiasa di sisi Rasulullah s.a.w di dalam setiap pertempuran dan sentiasa cemas memikirkan keselamatan Baginda. Keindahan peribadi beliau ini sebagai sahabat Rasulullah paling akrab disebut dalam peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah:

“Jika kamu tidak menolongnya (Muhammad), sesungguhnya Allah telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir mengusirnya (dari Mekah); sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada di dalam gua, ketika itu dia berkata kepada sahabatnya (Abu Bakar), Janganlah engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan ketenangan kepadanya (Muhammad) dan membantu dengan bala tentera (malaikat-malaikat) yang tidak terlihat olehmu, dan Dia menjadikan seruan orang-orang kafir itu rendah. Dan firman Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana”. (Surah At-Taubah: 40)

Begitu indah peribadi Saidina Abu Bakar ini. Sentiasa bersama sahabatnya di saat paling getir. Menjadi perisai dan membenarkan setiap kata-kata Baginda. Maka tidak hairanlah, beliau menjadi kalangan sahabat Rasulullah s.a.w yang dijamin syurganya.

Jika sahabat kita ingin berjaya, maka doronglah dia selagi dia berada di jalan yang benar. Sediakan juga bahu untuk dia meluahkan ceritanya. Ini kerana kisah kejayaan itu bukan hanya manis sentiasa. Sahabat sebenar akan mengetahui liku-liku dalam mengecapinya.

Membantu Dikala Kesusahan

Dalam tragedi banjir baru-baru ini, sahabat baik saya turut terlibat di Pekan, Pahang. Beliau yang sarat mengandung sentiasa risau memikirkan keluarga dan diri sendiri juga. Hati saya pedih mengingatkan bahawa saya tidur lena dibuai mimpi, sedangkan sahabat saya tidak dapat melelapkan matanya saban malam.

Menghadapi suasana tragedi nasional seperti banjir ini, membuatkan kenalan jauh juga menjadi seperti dekat. Masing-masing dapat merasai keperitan kerana setiap orang juga mempunyai keluarga, kampung halaman dan negeri kelahiran yang dikasihi. Kata orang, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.

Sahabat susah senang dirasai bersama.

Bantuan yang diperlukan bukan sahaja dari segi wang ringgit tetapi moral, kasih sayang dan sensitiviti juga. Hulurkan tangan, dan ringankan beban sahabat dan kenalan kita. Luangkan masa juga untuk mendengar mereka meluahkan kerisauan dan kesedihan.

Membina kembali apa yang musnah memerlukan usaha dan bantuan yang berterusan.

Sesungguhnya, Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia menyayangi saudaranya seperti mana dia menyayangi dirinya sendiri.”
Hadis Riwayat Bukhari

Takrifan sahabat itu sangat luas!

Jangan pula kita sempitkan ia dengan terma kawan baik, best friends atau BFF (best friends forever) sahaja. Kawan yang tidak begitu baik atau rapat dengan kita juga perlu dikira sebagai sahabat.

Sahabat dunia akhirat hingga ke syurga.

Namun, terma Best Friends sebenar-benarnya adalah mereka yang sentiasa mendoakan kebahagian dan kejayaan kita di dunia dan akhirat. Tidak guna melihat kita bahagia dilimpahi kemewahan dunia, tetapi sengsara di akhirat kelak.

Biarpun jarang bertemu kerana kesibukan dan kejauhan, mereka kekal sebagai sahabat kita.

Dari Abu Hurairah ra bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Doa seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah dalam tempat yang berjauhan diterima oleh Allah s.w.t.”
Hadis Riwayat Muslim

Jika anda ada sahabat atau kawan yang terlintas di fikiran anda sekarang, hantarkan pesanan telefon, tanyakan khabar atau doakan sahaja mereka dari kejauhan.

Biarlah kita berkawan bukan di dunia sahaja, tetapi sampai ke syurga.

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Nordiana Ali)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan