Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sahabat Abadi Kenangan Bersama Penumpang MH17 Dalam Bentuk Video

sahabat abadi

KUALA LUMPUR– Seorang pegawai bank yang begitu terasa dengan kehilangan seorang sahabatnya yang terlibat dalam tragedi MH17 di Ukraine pada Khamis, menzahirkan kesedihannya menerusi rakaman video.

Hazim Badri, 30, menghasilkan video ringkas khusus untuk mengenangi persahabatannya yang begitu akrab dengan Mohd Ali Md Salim, rakan sebaya.

“Video itu mengandungi gambar semasa saya pergi ke rumah sewanya di Rotterdam, Netherlands bulan lepas.

“Dia bawa saya melawat beberapa tempat menarik di Amsterdam,” kata Hazim.

Video selamA 34 saat itu dengan kapsyen “Mohd Ali Md Salim (1984-2014) Allah sayang Ali..Kami sayang Ali” dimuatnaik dalam laman sosial facebook sehari selepas nahas pesawat.

Hazim memberitahu BERNAMA beliau mengenali Mohd Ali sejak di bangku sekolah sekitar 1997 sehinggalah mereka sama-sama menjejakkan kaki di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dalam tempoh dua hari, paparan video itu mendapat 117 ‘like’ yang kebanyakannya datang daripada bekas pelajar UIAM, malah video itu juga dikongsi 57 pengguna Facebook lain.

Beliau berkata terdapat rakan-rakan Facebook yang mencadangkannya mengumpul dana untuk keluarga Mohd Ali.

Hazim berkata banyak kenangan antara mereka berdua memandangkan usia perkenalan mencecah 17 tahun sejak mula berkenalan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Perak, Muar.

“Kami berdua pernah belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Muar, Johor kemudian melanjutkan pelajaran ke UIAM dalam jurusan Psikologi.

“Kami terpisah apabila Mohd Ali menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Psikologi di sebuah universiti di Amsterdam, dijangka menamatkan pengajiannya tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata jarak tidak pernah memisahkan mereka walaupun Mohd Ali melanjutkan pelajaran di Amsterdam, malah jarak itu menambahkan lagi keakraban persahabatan mereka.

“Kami sering berhubung melalui Whatsapp. Malah beliau menyuruh saya datang lagi sekali ke rumah sewanya untuk bersama-sama memandu ke Scandanavia.

“Saya ada bertanya bila beliau mahu pulang ke Malaysia dan tidak sangka beliau tidak akan kembali,” katanya.

Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk 15 anak kapal itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Netherlands) Khamis lepas dan sepatutnya tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) Jumaat.

Bagaimanapun, pesawat malang itu terhempas dipercayai ditembak jatuh di timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia.

Komen


Berita Berkaitan