Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,657

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

SAFA Perlu Laksanakan Pelan Tindakan Tingkat Mutu Bola Sepak Sabah – Musa

7:16pm 14/08/2016 Pak Roshan 320 views Mutakhir,Sukan,Sukan Tempatan,YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman

cm

TAWAU : Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) diseru melaksanakan lebih banyak pelan tindakan yang bersesuaian serta berkesan dalam usaha membangun dan memajukan lagi sukan bola sepak di negeri ini, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Musa berkata sebagai persatuan yang bertanggungjawab dalam soal pembangunan bola sepak Sabah, SAFA telah banyak memperlihatkan perubahan positif namun belum mencapai tahap memuaskan serta masih ada aspek yang perlu diperbaiki dalam memajukan sukan itu di Sabah.

“Saya amat berharap segala perancangan dan usaha SAFA dapat mengembalikan kegemilangan bola sepak Sabah setaraf dengan pasukan-pasukan peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya pada majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Piala Ketua Menteri (SAFA) di sini Sabtu malam.

Teks ucapan Musa dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Musa berkata beliau ingin melihat kemajuan dalam sukan bola sepak dan tidak mustahil ia dapat direalisasikan dengan sokongan para penyokong dan kerjasama semua pihak termasuk komitmen sektor swasta dan korporat.

Mengenai kejohanan Piala Ketua Menteri itu, Musa memuji usaha penganjuran kejohanan itu yang berupaya melahirkan lebih banyak pemain yang boleh diketengahkan sehingga menarik perhatian negeri dan kelab lain untuk mendapatkan khidmat mereka.

“Saya percaya selain dapat memilih pemain berbakat mewakili negeri di peringkat Liga Perdana dan kebangsaan, kita juga dapat memantapkan disiplin pemain selain dapat meningkatkan tahap pengurusan para jurulatih dan pengurus,”katanya.

Dalam kejohanan itu, Wilayah Persekutuan muncul johan selepas menumpaskan penyandang, Tawau 4-2 melalui sepakan penalti. Sebelum itu kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada perlawanan akhir berkenaan.

Wilayah Persekutuan merupakan pasukan jemputan dalam kejohanan itu yang mula diperkenalkan pada tahun 2013. Sebanyak lapan pasukan menyertai kejohanan itu dengan tempat ketiga dimenangi pasukan Telupid selepas menewaskan Keningau, 3-2.

–BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan