Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,794

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

SAFA hanya lantik jurulatih tempatan kendali Badak

safa

KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), hari ini memutuskan hanya akan mengambil jurulatih tempatan sebagai pengendali skuad utama negeri itu, musim depan.

Timbalan Presiden I SAFA, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat eksekutif persatuan berkenaan, pagi tadi, selepas mengambil kira beberapa faktor.

“Antara faktor utama ialah komunikasi antara pemain tempatan dengan jurulatih yang dikatakan menjadi masalah utama pasukan sejak beberapa musim lalu.

“Kita mahu jurulatih yang benar-benar memberi impak termasuk dari segi penyampaian supaya pemain tahu dengan tugasan yang diberi kepada mereka,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Tawfiq berkata, masalah yang dihadapi itu bukan saja dialami pemain malah pembantu jurulatih yang turut dikatakan menghadapi kesukaran untuk menterjemahkan arahan ketua jurulatih kepada pemain.

“Ini memberi kesan kepada corak permainan pasukan kerana mereka tidak faham sepenuhnya arahan jurulatih termasuk dari segi strategi dan taktikal,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, beberapa jurulatih tempatan termasuk dari Sabah telah dikenal pasti untuk menjadi pengendali pasukan pada musim depan.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu belum diputus kerana ianya masih dalam dalam proses perbincangan dan keputusan dijangka akan dibuat dalam tempoh terdekat bagi memastikan persiapan pasukan untuk menghadapi Liga Malaysia 2017 berjalan lancar.

“Ada juga beberapa jurulatih dari Semenanjung yang menawarkan diri untuk mengendalikan pasukan, namun kita masih mencari jurulatih yang benar-benar sesuai dan kita juga tidak menolak kemungkinan pasukan akan dibimbing jurulatih dari Sabah sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata satu jawatankuasa pemilihan pemain yang diketuai Timbalan Presiden 2 SAFA, Datuk Lawrence Gimbang telah dibentuk untuk mengenalpasti pemain yang layak beraksi untuk Sang Badak, musim depan.

“Antara barisan jawatankuasa berkenaan termasuk Naib Presiden SAFA, Datuk Yusof Kassim, legenda bola sepak negara, Datuk Hassan Sani dan Datuk James Wong serta bekas pemain negeri iaitu Jelius Ating dan Burhan Ajui,” katanya. – BH Online

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan