Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,299

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Sabotaj Dan Tamak Punca Ketiadaan Minyak Masak Paket 1kg Di Sabah – Menteri

9:57pm 09/01/2017 Pak Roshan 2756 views Berita Pilihan,Isu Semasa,Mutakhir

gambar hiasan

TAWAU :  Unsur sabotaj peniaga dan sikap tamak pembeli antara punca ketiadaan minyak masak paket satu kilogram di beberapa pasar raya dan kedai runcit di Sabah, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid.

Beliau berkata Felda mengeluarkan 700 tan metrik minyak masak sebulan untuk keperluan pengguna di negeri ini.

“Namun akibat unsur sabotaj peniaga yang menyorok minyak masak ini serta sifat tamak pembeli yang membeli secara panik dan berlebihan mengakibatkan beberapa pasar raya kehabisan bekalan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sentiasa memantau isu ini namun memerlukan kerjasama semua pihak khususnya masyarakat dalam membuat laporan dan aduan mengikut saluran yang disediakan.

“Masyarakat diingatkan agar tidak mengamalkan sikap melapor di laman sosial, mengkritik sesuka hati dan melakukan fitnah terhadap kerja-kerja KPDNKK,” katanya.

Sementara itu, Jainab berkata cerita yang tular di laman sosial mengenai dua buah kedai pemborong minyak di Tawau hanya menjual minyak masak kepada pengguna sekiranya berbelanja RM500 di kedai itu, adalah tidak betul.

“Saya telah pergi ke kedai itu dan mendapati perkara berkenaan tidak benar berdasarkan bukti-bukti resit yang ditunjukkan oleh pemilik kedai dan orang ramai yang berbelanja di sana juga mengakui perkara itu tidak betul,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan