Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,781

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Sabah Yakin Projek Pan Borneo Akan Memacu Pertumbuhan Ekonomi, Sosial Lebih Pantas

Lebuhraya-Pan-Borneo-1-600x338

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri Sabah yakin dan optimis projek Lebuhraya Pan Borneo, yang akan dilaksanakan pada penghujung April ini, bakal merangsang serta memacu pertumbuhan ekonomi dan sosial dengan lebih pantas.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata pembangunan lebuh raya itu juga sekali gus akan memberi manfaat besar kepada pembangunan Sabah dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Pada Isnin, satu lagi sejarah tercatat dalam konteks kemajuan perhubungan dan infrastruktur Sabah menerusi pemeteraian perjanjian Projek Lebuhraya Pan Borneo antara kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan Borneo Highway PDP Sdn Bhd.

Sehubungan itu, Musa merakamkan ucapan penghargaan kepada kerajaan Pusat atas komitmen tinggi dalam memastikan rakyat Sabah turut menikmati sistem jaringan jalan raya yang selamat, selesa dan efisien.

Musa berkata demikian ketika berucap pada majlis jamuan makan tengah hari sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-14 di sini Khamis.

Dalam pada itu, Musa mengajak semua anggota DUN memanfaatkan persidangan itu dengan menghayati sepenuhnya intipati ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Musa berkata persidangan kali ini bukan sahaja penting malah amat signifikan kerana diadakan pada tahun pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Sehubungan itu, Musa berkata komitmen dan kerjasama padu antara pemimpin, penjawat awam dan rakyat di negeri ini amat diperlukan bagi memastikan kejayaan dasar kerajaan dan agenda pembangunan dalam RMK-11.

Katanya ini penting bagi membentuk satu pasukan kerja yang jitu dan mantap dalam memastikan pembangunan dirancang dapat dilaksanakan dengan jaya demi kesejahteraan rakyat.

Dalam masa sama, penglibatan sektor swasta sebagai ejen pemacu pertumbuhan ekonomi negeri juga amat signifikan bagi menjana pertumbuhan yang terus berkembang maju dan lebih kompetitif, katanya.

“Saya percaya, jika semua pihak memperkukuh lagi kerjasama dan melaksanakan tanggungjawab diamanahkan, sudah tentu kita dapat memacu kepesatan pembangunan negeri dengan lebih berkesan dan menyeluruh dengan menggembleng seluruh prospek dan potensi yang kita ada dalam pelbagai sektor,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan