Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sabah Yakin Duduki Tangga Teratas Liga Perdana Musim Baharu

sabahfa
Foto Ihsan SabahFa

 

KOTA KINABALU, 8 Jan (Bernama) — Pasukan bola sepak negeri Sabah yakin akan menduduki tangga teratas Liga Perdana musim baharu bagi membolehkan Sabah melayakkan diri dalam Liga Super tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri TC Goh melahirkan keyakinan itu berdasarkan latihan dan penyertaan skuad badak itu dalam beberapa perlawanan persahabatan di dalam dan luar negeri, termasuk Pertandingan Bola Sepak Antarabangsa Asia di Yunnan, China bulan lepas.

“Kita yakin skuad badak akan mengembalikan kegemilangan pasukan bola sepak Sabah seperti yang pernah dikecapi suatu masa dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu program saluran TVi ‘Kami Bah Ini’ di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Sabah di sini hari ini.

Kali terakhir Sabah beraksi dalam Liga Super ialah pada 2012.

Goh berkata sokongan dan kerjasama daripada peminat bola sepak juga penting dalam menyuntik semangat kepada barisan pemain bola sepak negeri apabila Liga Perdana dijadualkan membuka tirai bulan depan.

Beliau berkata dengan kehadiran beberapa pemain baharu antaranya bekas penyerang Liverpool yang berasal dari Senegal iaitu El Hadji Diouf diharap dapat membawa Sabah ke peringkat lebih tinggi kali ini.

Sementara itu, Diouf berkata kehadirannya dalam skuad badak itu juga adalah untuk membantu meningkatkan prestasi sukan bola sepak di negeri ini dan di Malaysia amnya.

Katanya, sebagai langkah permulaan beliau akan mempelajari bahasa Melayu bagi memudahkan komunikasi.

“Perlu bagi saya untuk mempelajari bahasa kerana saya kini bukan lagi bermain di peringkat dunia dan memang ada perbezaannya,” katanya.– BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan