Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sabah tumpu peningkatan sara diri bagi kesemua tanaman makanan: Shafie

TAWAU, 29 Sept (Bernama) — Kerajaan Sabah akan terus menumpukan kepada peningkatan sara diri bagi kesemua tanaman makanan terutama padi bagi memenuhi keperluan sekurang-kurangnya dua pertiga penduduk negeri ini, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata peningkatan tahap sara diri itu akan mengurangkan kebergantungan terhadap beras import dan memastikan bekalan makanan ruji itu sentiasa mencukupi.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Gambar Fail SNT/Ehsan JKM

“Saya berharap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Negeri dapat memainkan peranan dengan berkesan mencapai tahap sara diri yang telah ditetapkan di bawah objektif strategi Dasar Pertanian Negeri Sabah Ketiga (DPNS3).

“Kerajaan negeri dan pusat akan terus berusaha mengadakan pelbagai program serta inisiatif untuk meningkatkan pengetahuan dan pengeluaran penternak, petani dan peladang,” katanya pada perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri di sini hari ini

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jaujan Sambakong.

Mohd Shafie berkata dalam konteks itu juga, tahap pengeluaran makanan perlu ditingkatkan pada kadar tiga hingga empat peratus setahun bagi menampung pertambahan penduduk.

Beliau juga berkata kerajaan negeri akan sentiasa membantu dan menyokong segala perancangan program jangka panjang untuk memastikan peningkatan taraf sosio ekonomi petani, penternak dan nelayan terjamin.

“Bagi memastikan tahap keselamatan dan kualiti makanan sentiasa terjamin, teknologi baharu serta program kajian dan penyelidikan perlu dilengkapkan dan ditingkatkan.

“Inovasi teknologi amat penting dalam sektor pertanian memandangkan situasi ekonomi dunia yang begitu mencabar pada ketika ini,” katanya.

Mohd Shafie berkata industri ternakan dan perikanan negeri ini juga mempunyai potensi besar untuk dibangunkan dan pada masa sama menegaskan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam semulajadi seiring dengan pembangunan pertanian.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan