Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Sabah Tuan Rumah Sambutan Hari Hepatitis Peringkat Kebangsaan Pada 6 Ogos

11:09pm 20/07/2016 Pak Roshan 47 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

large-hepatitis(1)

KOTA KINABALU : Sabah dipilih menjadi tuan rumah sambutan Hari Hepatitis Sedunia peringkat kebangsaan tahun ini bertemakan ‘Ketahui Hepatitis, Bertindak Sekarang’, kata Pengarah Kesihatan negeri Dr Christina Rundi.

Beliau berkata tema itu adalah selaras dengan objektif sambutan, antara lain menggalakkan orang ramai mengetahui penyakit itu termasuk langkah serta tindakan yang perlu diambil bagi merawat dan mencegah, sekali gus mengurangkan jangkitan Hepatitis dalam kalangan masyarakat.

Majlis pelancaran sambutan itu akan diadakan di Sandakan bertempat di Dewan SMK Yu Yuan pada 6 Ogos depan dengan pelbagai aktiviti termasuk saringan, vaksinasi, pameran, forum dan ceramah mengenai Hepatitis, katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Dr Christina berkata seramai 700 orang awam dijangka menghadiri majlis pelancaran sambutan itu yang diadakan pada jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Hari Hepatitis diadakan sehari dan ini akan digunakan sebagai platform advokasi seterusnya memberi kesedaran tentang penyakit itu,” katanya.

Mengulas lanjut Hepatitis di Sabah, Dr Christina berkata banyak kes dicatatkan berlaku di bandar besar seperti Sandakan dan Kota Kinabalu.

Beliau juga berkata masih ramai tidak mengetahui status kesihatan mereka sama ada menghidap penyakit Hepatitis atau tidak berikutan kurang kesedaran untuk membuat saringan awal.

Menurutnya, setiap individu harus mengetahui status kesihatan mengenai Hepatitis bagi membolehkan mereka mendapatkan vaksinasi jika belum terjangkit dan mengambil langkah pencegahan agar tidak menjangkiti orang lain.

“(Orang awam) hanya akan mendapat tahu (mereka menghidap penyakit Hepatitis) adakalanya semasa menderma darah, saringan ibu mengandung dan semasa sakit dan menerima rawatan di hospital,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Christina berharap orang ramai akan lebih peka dan prihatin terhadap status kesihatan mereka agar langkah seterusnya boleh diambil termasuk merawat dan mencegah Hepatitis daripada merebak.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan