Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sabah Tidak Pernah Ketepikan Kawasan Pembangkang Dalam Pembangunan

Musa (dua dari kanan) bersama Gordon (tiga dari kiri) mengucapkan ‘​G​ong ​X​i​ Fa Cai​’.​ Kelihatan sama Asharuddin (kanan) dan Au (dua dari kiri).​

 

PENAMPANG, 25 Feb (Bernama) — Barisan Nasional (BN) Sabah tidak akan mengetepikan kawasan pilihan raya yang diwakili pembangkang dari segi pembangunan, kata Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

Beliau berkata sebagai kerajaan hari ini, BN negeri bertanggungjawab memastikan pembangunan di Sabah dilaksanakan secara menyeluruh.

“Kita perlu saling membantu. Kita mesti bekerjasama demi kebaikan Sabah.

“Kita hidup bersama. Kita bina negeri ini bersama. Jadi kita perlu bangunkan Sabah bersama-sama untuk memastikan dia menjadi negeri maju,” katanya pada Festival Angpow di sini, Sabtu malam.

Beliau berkata Penampang, yang mana anggota Parlimen dan dewan undangan negerinya adalah terdiri daripada pembangkang, terus diberi perhatian oleh kerajaan BN, termasuk pada masa-masa diperlukan.

Musa berkata ini termasuk kerja-kerja melebarkan dan mendalamkan sungai-sungai di Penampang bagi menangani masalah banjir ketika hujan lebat.

Selain itu, katanya ketika lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Penampang pada bulan lepas, Perdana Menteri mengumumkan meluluskan peruntukan RM8.5 juta bagi menaik taraf Pasar Donggongon.

“Ini adalah tugas kami (BN). Walaupun Penampang adalah (diwakili) pembangkang, kami (masih) harus membantu.

“Ini adalah BN. Kami berkhidmat untuk semua,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri mempunyai peranan untuk memastikan kestabilan politik Sabah agar ekonominya sentiasa makmur dan berterusan bagi menarik kedatangan pelancong dan pelabur.

Musa berkata jika pengundi di Penampang memilih wakil BN dalam pilihan raya umum akan datang, beliau akan memastikan Penampang akan terus membangun.

“Kami akan pastikan orang datang ke sini untuk melabur.

“(Jadi) pilihlah parti yang betul dalam pilihan raya umum nanti dan parti itu adalah BN, ” katanya.

Pada acara itu, Musa turut mengumumkan sumbangan RM200,000 kepada Kuil Fook Tet Kung di Donggongon di sini.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan