Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sabah tewas 0-4 kepada Pahang

Antara aksi pertemuan Pasukan Sabah (jersey merah) dengan Pahang pada perlawanan bola sepak Piala Malaysia 2018 di Stadium Likas, Kota Kinabalu. Sabah tewas dengan jaringan 4-0. Gambar SNT / Ehsan Jaiman Taip

KOTA KINABALU: Sabah tewas dalam perlawanan akhir peringkat kumpulan Piala Malaysia apabila tunduk 0-4 kepada Pahang di Stadium Likas, di sini malam tadi.

Skuad Badak yang turun tanpa kesebelasan utama beraksi tanpa tekanan dan mencipta beberapa percubaan untuk menjaringkan gol namun tidak berhasil.

Misi untuk mengekalkan rekod tanpa kalah Sabah akhirnya terlerai apabila pasukan pelawat memperoleh gol pembukaan pada minit ke-10 menerusi tandukan Norshahrul Idlan Talaha yang tidak dikawal pemain pertahanan tuan rumah.

Pahang terus menggandakan asakan dan hasilnya pada minit ke-37, mereka berjaya menambah jaringan menerusi Muhammad Zuhair Aizat Mohd Nazri yang menyempurnakan hantaran lintang  Patrick Cruz.

Namun, anak buah Jelius Ating enggan berputus asa dan Sabah sepatutnya berjaya merapatkan juga gol tetapi tandukan Rodoljub Paunovic, tidak menepati sasaran.

Kedudukan 0-2 kekal sehingga tamat perlawanan separuh masa pertama permainan.

Memasuki babak kedua, skuad Badak memperolehi beberapa percubaan gol, malangnya masih buntu menjaringkan gol.

Kesempatan itu diambil oleh skuad Tok Gajah apabila Norshahrul hampir meledak gol keduanya pada minit ke-62 tetapi cubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Sabah, Robson Rendy Rining.

Pasukan pelawat berjaya memperolehi gol ketiga minit ke-78,  menerusi jaringan Cruz dan pemain gantian Issey Nakajima menambah derita Sabah apabila menanduk masuk gol keempat Pahang pada masa kecederaan.

Dua gol pada babak kedua itu  menjadikan kedudukan 0-4 kekal sehingga akhir perlawanan.

Sebahagian penyokong Sabah yang hadir menyaksikan perlawanan menentang Pahang dan walaupun Sabah tewas dengan jaringan 4-0 mereka tahu cabaran Piala Malaysia sebenar bermula minggu hadapan di Kota Bahru. Gambar SNT / Ehsan Jaiman Taip

Kekalahan itu tidak mengubah kedudukan Sabah yang mengungguli juara Kumpulan D dan mereka akan bertemu Kelantan pada suku akhir di Kota Bahru nanti. -SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan