Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

SABAH TETAP TUNTUT 20 PERATUS ROYALTI MINYAK

KOTA KINABALU, 21 Ogos (Bernama) — Kerajaan  Sabah tetap dengan pendirian untuk menuntut royalti minyak sebanyak 20 peratus berdasarkan untung kasar dan bukannya untung bersih, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Katanya kerajaan negeri telah berjumpa dengan syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) selain pihaknya akan turut bertemu dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi membincangkan perkara itu demi manfaat rakyat Sabah.

“Saya percaya ini (tuntutan royalti minyak 20 peratus) akan dapat direalisasikan. Saya telah menyatakan pendirian teguh kerajaan Sabah kepada Petronas bahawa Kabinet negeri telah membuat keputusan 20 peratus royalti minyak itu adalah berdasarkan untung kasar.

“Saya yakin jika perkara ini dibincangkan secara baik ia akan menjadi kenyataan sekali gus membolehkan kerajaan negeri mempunyai sumber kewangan bagi mengurus tadbir Sabah memandangkan Sabah adalah sebuah negeri besar dan memerlukan lebih banyak kewangan untuk pembangunan.

“Ini termasuk menyediakan lebih banyak sektor dan peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah sekali gus mengurangkan penghijrahan mereka ke Semenanjung bagi mendapatkan pekerjaan,” katanya dalam sidang media bersempena 100 hari Parti Warisan Sabah (Warisan) menerajui kerajaan negeri di sini, hari ini.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan negeri berkata Sabah berhak mendapat jumlah royalti berkenaan memandangkan Sabah tidak pernah keberatan untuk berkongsi sumber hasil bumi selain 50 peratus daripada pengeluaran hasil minyak adalah dari negeri itu.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan