Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,738

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Sabah Terus Sokong JAKIM Memartabat Syiar Islam

cm2

KUDAT – Kerajaan negeri melalui Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) akan terus menyokong Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam memartabatkan syiar Islam di Sabah, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Sehubungan itu, Musa berkata kerajaan negeri kekal komited meneruskan pemberian elaun tambahan kepada para pelatih pusat latihan di sini yang dilaksanakan tahun ini, dan dibuat secara tetap mulai 2017.

“Melalui perbincangan dan persetujuan bersama, kerajaan negeri juga sentiasa mengalu-alukan inisiatif JAKIM pada masa depan melalui Pusat Latihan Dakwah dalam menjayakan peluang pendidikan yang disediakan bagi melahirkan modal insan yang berilmu, berkualiti dan berkemahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvokesyen Pusat Latihan Dakwah Kudat (PLDK) Ke-20, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Musa menyampaikan Sijil Asas Pengajian Islam dan Dakwah (SAPID) kepada 200 graduan PLDK.

Mengenai majlis itu, Musa berkata SAPID merupakan contoh model pendidikan holistik berteraskan pendidikan Islam secara teori dan praktikal.

“Saya yakin program persijilan ditawarkan selama setahun ini mampu memberi nilai tambah bagi pembangunan modal insan dalam kalangan anak-anak di Sabah, terutamanya berstatus saudara baru.

“Kita percaya program ini turut melahirkan para pendakwah berilmu, berketerampilan dan berkemahiran.

“Saya optimis kejayaan hari ini dapat menjadi pemangkin para graduan untuk terus berusaha mencapai kejayaan demi kejayaan pada masa akan datang,” katanya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan