Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sabah Teroka Peluang Pelancongan Di Amerika Syarikat Timur

kk-portlan

KOTA KINABALU: Sabah akan meneroka pasaran pelancongan baharu di Amerika Syarikat (AS) Timur sebagai sebahagian strategi pemasaran yang lebih agresif bagi meningkatkan ketibaan pelancong di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun berkata bagi permulaan, kementerian menerusi agensi berkaitan akan mengadakan lawatan ke Portland, Oregon, AS bagi membincangkan usahasama dalam pelbagai bidang pelancongan pada September ini.

“Kita dijemput Duta Amerika untuk memasarkan pelancongan dengan memulakan di negerinya, Oregon selain perancangan Kota Kinabalu dan Portland di Oregon, akan memeterai perjanjian sebagai bandaraya berkembar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sabah Matta Fair di pusat membeli-belah Suria Sabah di sini, Jumaat.

Masidi berkata insiatif khusus oleh Duta Besar AS ke Malaysia Joseph Y.Yun itu bagi membantu industri pelancongan di negara ini selain potensi pelancongan menerusi hubungan trafik penerbangan sedia ada bagi membawa pelancong ke negeri ini.

“Kita percaya penerbangan setiap hari dari Seoul, Korea-San Francisco-Hong Kong dan Seoul, Korea-Kota Kinabalu adalah pilihan perjalanan terbaik ke Sabah.

“Hubungan trafik sedia ada akan diperbaiki bagi memulakan langkah ke hadapan menjadikan Amerika Timur sebagai medan pasaran baharu dalam bidang pelancongan,” katanya.

Masidi berkata selain itu, pihaknya memperhebat promosi pelancongan di negara jiran seperti Singapura dan Jakarta, Indonesia berikutan tumpuan penduduk negara terbabit yang berminat kepada tarikan pelancongan di Sabah.

Beliau percaya insiatif khusus oleh Sabah Tourism Board dan pihak lain yang berkaitan dapat membuka pasaran baharu bagi menambah ketibaan pelancong terutama dari China berikutan beberapa insiden penculikan dan kehilangan pesawat Malaysia MH370 sejak Mac lepas.

Masidi turut mengakui ketibaan pelancong dari China yang turun mendadak sehingga 50 peratus ekoran insiden berkenaan, namun terdapat pelancong China yang tidak melalui ejen pelancong masih mengunjungi negeri ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya menyasarkan 200,000 pengunjung ke pameran ejen pelancongan itu berikutan penambahan 20 peratus peserta pameran dan penyertaan 90 gerai terdiri daripada ejen pelancongan, operator pelancongan dan Organisasi Pelancongan Kebangsaan.

“Penambahan penyertaan itu menunjukkan industri masih beroperasi secara baik selain keyakinan penggiat industri terhadap potensi pelancongan bagi jangka masa panjang dan pendek walau apa yang berlaku (insiden penculikan) boleh menjejaskan ketibaan pelancong ke Sabah,” katanya.

Komen


Berita Berkaitan