Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,640

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Sabah Terkenal Sebagai ‘Best Pay-master’ Bayar Balik Pinjaman Persekutuan – Musa

12:04pm 22/04/2016 Pak Roshan 33 views Kota Kinabalu,Laporan Sidang DUN,Mutakhir,Tempatan

kk

KOTA KINABALU : Sabah terkenal dengan gelaran ‘The Best Pay-master’ dalam membuat pembayaran balik pinjaman kepada kerajaan Persekutuan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Musa yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata kerajaan negeri telah membuat pembayaran anuiti pinjaman mengikut jadual yang ditetapkan tanpa sebarang tunggakan sehingga ke hari ini.

“Keupayaan dan reputasi kerajaan negeri menambahkan lagi keyakinan kerajaan Persekutuan memberi pinjaman dalam jumlah lebih besar, dan dengan kemudahan pinjaman ini membolehkan projek pembangunan dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Kewangan negeri pada sidang Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Menurut Musa, sejumlah RM2,598,860,360.05 baki pinjaman sehingga 31 Dis tahun lepas, yang mana, baki pinjaman itu merupakan pinjaman diperoleh sejak 1991.

Beliau berkata sebahagian besar daripada pinjaman berkenaan adalah untuk membiayai projek kemudahan asas seperti bekalan air dan pembetungan manakala sebahagian kecil untuk membiayai pembangunan sektor perumahan dan perindustrian.

Mengulas lanjut, Musa berkata negeri lain juga memanfaatkan kemudahan pinjaman berkenaan dan Sabah mengambil peluang dan memanfaatkan kemudahan pinjaman tanpa faedah itu dengan tempoh bayaran balik yang panjang.

“Hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan memudahkan kita memperoleh pinjaman kewangan bagi membiayai pelbagai projek pembangunan di negeri ini,” katanya.

Bagaimanapun, Musa turut melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan kerana menyediakan peruntukan besar kepada Sabah dalam bentuk geran dan bantuan khas, namun, bentuk topografi Sabah yang berbukit dan luas memerlukan peruntukan besar bagi menampung kos pembangunan infrastruktur dari semasa ke semasa.

Dalam perkembangan lain, Musa berkata kerajaan negeri akan terus mengamalkan dasar perbelanjaan berhemat bagi menangani kesan negatif akibat kejatuhan harga minyak dan ketidaktentuan ekonomi global.

“Pelaksanaan langkah penjimatan di samping pengurusan kewangan yang cekap, membantu kerajaan mengekalkan kestabilan kewangan negeri dan walaupun kemelut ekonomi terus melanda, namun kita mampu bertahan dan meneruskan pelaksanaan program pembangunan,” katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan negeri telah menerima pembayaran royalti petroleum yang semakin meningkat daripada Petronas iaitu daripada kira-kira RM15 juta pada 1976 kepada kira-kira RM900 juta tahun-tahun kebelakangan ini.

Katanya adalah menjadi hasrat kerajaan negeri agar faedah dinikmati daripada industri minyak dan gas tidak terbatas kepada royalti petroleum sahaja.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan