Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sabah teliti semula perdagangan barter

DATUK Seri Mohd Shafie Apdal (tengah) mempengerusikan mesyuarat Kabinet negeri, di Bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Kota Kinabalu, hari ini. Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Madius Tangau (kiri) dan Christina Liew. – Foto Lano Lan

 

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mempertimbang untuk menghidupkan semula perdagangan barter (pertukaran barang) di negeri ini dengan negara jiran untuk keutuhan ekonomi dan keselamatan yang lebih baik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata ia sudah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri supaya aktiviti perdagangan barter antara Sabah, Filipina dan Indonesia dihidupkan semula dalam masa terdekat.

“Terdapat keperluan merangka formula sistem baharu seperti pelabuhan pendaratan di Kudat, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau, serta menentukan barang yang boleh dimasukkan dalam perdagangan barter ini,” katanya selepas mesyuarat Kabinet negeri di sini, hari ini.

Pada 2016, aktiviti perdagangan barter di seluruh negeri ini digantung berikutan beberapa siri kes penculikan di pantai timur negeri ini.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, ketiga-tiga negara perlu melakukan aktiviti barter, namun barang bersubsidi di Sabah seperti gas, minyak dan beberapa barangan lain harus dikecualikan.

Katanya, keputusan untuk memulihkan perdagangan barter adalah bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi di Sabah, Filipina serta Indonesia.

“Berdasarkan kajian Universiti Malaysia Sabah (UMS), banyak kerugian berlaku, banyak kedai ditutup (disebabkan larangan perdagangan barter) di Sabah dan negara lain.

“Perdagangan barter ini akan memastikan mereka (rakyat) mempunyai pekerjaan dan pendapatan, yang dapat mengurangkan pembabitan mereka dalam aktiviti tidak sihat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, jawatankuasa khas diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman akan mengambil masa antara dua dan tiga minggu untuk menyediakan perincian dokumen khas bagi pekerja ladang tidak sah membabitkan warga asing.

“Dokumen khas ini juga memerlukan pekerja yang bekerja hanya di tempat kerja yang ditetapkan,” katanya.

Ditanya mengenai isu pusat beli-belah 1Borneo Hypermall di sini, yang berdepan pemotongan bekalan elektrik akibat tunggakan bil RM9.3 juta, Mohd Shafie berkata, pemiliknya harus berdisiplin menjalankan perniagaan dengan menjelaskan segala bil.

“Mereka sudah mengemukakan surat kepada saya, tetapi kami tidak boleh membenarkan dan mereka perlu membayar bil berkenaan,” katanya. – Oleh Olivia Miwil/BH Online

Komen


Berita Berkaitan