Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

SABAH TEKAD CATAT KEMENANGAN DI KOTA BHARU

Jurulatih Sabah, Jelius Ating (dua dari kanan) bersama pemain menjalani latihan. Gambar Fail SNT/Ehsan Raymond Henry Gusi

KOTA KINABALU: Sabah yakin membawa pulang tiga mata dalam pertemuan suku akhir pertama Piala Malaysia 2018 menentang Kelantan di Stadium Muhammed IV, Kota Bharu malam esok.

Bagi Ketua Jurulatih Sabah, Jelius Ating, pasukan itu perlu membawa bekalan selesa dengan mencipta kemenangan di gelanggang lawan bagi mengelak sebarang tekanan dalam perlawanan timbal balik di Stadium Likas pada 30 September nanti.

“Kami akui cabaran agak berat malam esok, tapi saya harus yakin dengan para pemain bagaimana mereka menterjemahkan perlawanan itu nanti agar kemenangan berpihak kepada Sabah.

“Begitupun, kami tetap menghormati Kelantan, mereka pasukan yang tidak kurang hebat,” katanya kepada Sabah News Today.

Jelius berkata, dia lega kerana beberapa pemain utama disahkan dapat beraksi dalam pertemuan esok, sekaligus menguatkan lagi jentera pasukan itu.

Katanya, walaupun masa untuk mempersiapkan pemain agak singkat tetapi dia berpuas hati kerana semua pemain tampak bersedia menghadapi perlawanan suku akhir pertama esok.

“Kami sempat menjalankan latihan beberapa lalu walaupun cuaca tidak menentu beberapa hari ini selain penangguhan perlawanan baru-baru ini menentang Pahang,” ujarnya.

Jelius berkata, penyerang Hector Omar Ramos dan Hamran Peter disahkan kembali untuk beraksi bersama skuad Badak dalam perlawanan esok.

Sementara itu, Rozaimie Rohim, Rawilson Batuil, Francis Kasonde, Randy Baruh, dan Alto Linus pula bakal menguatkan benteng pertahanan Sabah.

Di KOTA BHARU, Bernama melaporkan Ketua jurulatih Kelantan Yusri Che Lah mahu pemainnya mengekalkan rentak kemenangan apabila bertemu Sabah di peringkat suku akhir Piala Malaysia 2018 di Stadium Sultan Muhammad IV  malam esok.

Yusri berkata peluang melangkah ke separuh akhir saingan tersebut terbuka luas kepada kedua-dua pasukan, namun The Red Warriors mempunyai kelebihan apabila beraksi di tempat sendiri.

“Malam esok, jika pasukan kami menggunakan kelebihan seperti dilakukan ketika bertemu Kedah, saya yakin pasukan akan memperoleh bekalan selesa untuk aksi timbal balik di Sabah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kelantan mengiringi Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk beraksi di peringkat kalah mati bagi Kumpulan C saingan Piala Malaysia.

Dalam pada itu, Yusri yang juga bekas pemain kebangsaan mahu anak buahnya terus fokus dan tidak terbuai-buai dengan kejayaan menewaskan Kedah minggu lepas, sehingga membolehkan Kelantan beraksi di peringkat suku akhir.

“Pemain hanya perlu mengingati sejarah kemenangan dalam sesuatu perlawanan untuk tempoh dua, tiga hari sahaja, dan selepas itu mereka perlu bekerja keras untuk kembali mengulangi kejayaan yang sama.

“Jadi saya mengharapkan pemain agar lebih memberikan tumpuan dan meningkatkan mutu permainan ketika menentang Sabah,” katanya.

Yusri berkata beliau turut mengkaji strategi digunakan Sabah dalam beberapa perlawanan sebelum ini untuk mengenal pasti sebarang kelemahan pasukan itu.

“Saya teliti tiga perlawanan terakhir Sabah dan saya lihat pasukan itu sebuah pasukan yang cukup baik terutamanya ketika beraksi di tempat lawan.

“Saya perlu menitikberatkan benteng pertahanan The Red Warriors  kerana pasukan lawan mempunyai kekuatan pada jentera serangan, ” katanya. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan