Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,772

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Sabah Setuju Syor Perlembagaan Dipinda Beri Gambaran Status Sabah, Sarawak

8:08pm 21/11/2016 Pak Roshan 1172 views Berita Pilihan,Laporan Sidang DUN,Mutakhir

sabah

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri bersetuju untuk mengemukakan kepada kerajaan pusat satu syor meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menyusun semula senarai negeri di Malaysia bagi mencerminkan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang membentuk Malaysia, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata cadangan itu wajar dipertimbangkan untuk kebaikan dan manfaat rakyat serta negeri ini.

“Apa sahaja cadangan yang baik dan memberi manfaat kepada rakyat dan negeri, kita (kerajaan negeri) akan terima.

“Apa yang disyorkan oleh Yang Berhormat itu (ADUN Usukan), kalau kita minta, ia (syor) akan dimajukan kepada jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa pemandu berkaitan dan seterusnya kepada kerajaan pusat dan Perdana Menteri,” katanya.

Musa berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (BN-Usukan) yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Salleh berkata, penyusunan itu akan mencerminkan dengan jelas status negeri Sabah dan Sarawak iaitu Kategori A untuk negeri-negeri di Semenanjung dan Kategori B untuk Sabah dan Sarawak.

Katanya Sabah dan Sarawak merupakan rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia dan bukan sekadar salah sebuah negeri di dalam negara.

“Ini adalah untuk menentukan keadaan bahawa ia selari dengan asas penubuhan negara Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Musa berkata kerajaan negeri menyokong pembentukan jawatankuasa di peringkat persekutuan iaitu Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Pemandu bagi mengkaji hak Sabah secara keseluruhan di bawah Perlembagaan Persekutuan Hak Hasil Sabah, Akta Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963.

Jawatankuasa berkenaan ditubuhkan susulan mesyuarat pertama mengenai pelaksanaan penurunan kuasa kepada Sabah dan Sarawak yang diadakan di Kuala Lumpur pada Jun lepas yang dipengerusikan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Musa berkata kerajaan negeri berpendapat bahawa apa juga semakan terhadap hak negeri di bawah perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan harus dilakukan berdasarkan kerajaan kepada kerajaan.

“Di samping itu, peranan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Teo Chee Kang, khususnya untuk mengkaji geran khas sejajar dengan Bahagian Empat Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan telah diperluas secara keseluruhan untuk mewakili kerajaan negeri dan seterusnya melaporkan kepada kabinet negeri Sabah,” katanya.

Musa berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Star-Bingkor) mengenai pendirian kerajaan negeri tentang mengembalikan status Sabah dan Sarawak di dalam Artikel 1(2) Perlembagaan Malaysia kepada yang asal.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan