Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Sabah Serius Nilai Ancaman Keselamatan, Pangaruh Daesh

MUSA

KOTA KINABALU – Pihak berkuasa keselamatan di Sabah diarah memantau secara dekat sebarang petanda dan bentuk ancaman termasuk pergerakan dan pengaruh pengikut kumpulan pengganas Daesh di negeri itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata tindakan itu penting supaya langkah pencegahan segera dapat diambil bagi menyekat sebarang bentuk ancaman yang boleh memudaratkan keselamatan di negeri ini.

Katanya Jawatankuasa Keselamatan Negeri Sabah turut meminta semua agensi keselamatan meningkatkan keupayaan dan bekerjasama sebagai satu pasukan untuk bertindak terhadap kebarangkalian bentuk ancaman.

Bagaimanapun, pada umumnya situasi semasa keselamatan di Sabah adalah baik dan terkawal, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut, di sini hari ini.

Beliau juga meminta rakyat negeri itu supaya menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan di tempat masing-masing supaya langkah pencegahan secara berterusan dapat dilakukan.

Sementara itu, ketika mengulas penahanan seorang lelaki warga Sabah yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengganas dalam operasi di Johor, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd Rashid Harun berkata pihaknya masih menyiasat sama ada kegiatan lelaki berkenaan mempunyai rangkaian di Sabah.

Semalam, media melaporkan polis menahan tujuh lelaki warga tempatan dalam operasi di lima negeri kerana disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas Daesh.

Mereka ditahan di Kedah, Johor, Pahang, Kuala Lumpur dan Selangor oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Bukit Aman mulai Jumaat lepas hingga semalam.

Salah seorang suspek yang ditahan di Johor adalah berasal dari Sabah berusia 31 tahun dan bekerja sebagai penolong pengurus bahagian ‘housekeeping’ (perkemasan) sebuah hotel di Nusajaya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan