Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sabah Selangkah Ke Suku Akhir Piala Malaysia

Pemain Sabah berlatih sebelum aksi perlawanan seterusnya. Gambar SNT / Ehsan Raymond Henry Gusi

 

KOTA KINABALU: Sabah memerlukan satu lagi kemenangan dalam tiga baki perlawanan peringkat Kumpulan D untuk memastikan pasukan itu melangkah ke pusingan suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Ketua Jurulatih, Jelius Ating berkata, kejayaan bergaya pasukan itu yang menewaskan Selangor 2-1 dalam aksi mendebarkan di Stadium Likas, semalam, mencerahkan peluang skuad Badak ke pusingan kalah mati pada September ini.

“Kami memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri untuk baki tiga perlawanan di peringkat kumpulan, tetapi lebih elok jika kami menang kerana andai seri, kami terpaksa lihat keputusan pasukan lain.

Jurulatih bola sepak Sabah, Jelius Ating. Gambar SNT / Ehsan Raymond Henry Gusi

 

“Kami tidak mahu mengambil risiko atau ambil mudah tiga pertemuan akan datang memandangkan sama ada Selangor atau PKNP FC pasti mahu mencatat kemenangan. Sekiranya Sabah menang, maka peluang Selangor bakal tertutup.

“Justeru, saya meminta pemain mengekalkan prestasi terbaik yang mereka telah tunjukkan dalam perlawanan sebelum ini termasuk malam tadi,” katanya kepada Sabah News Today.

Sabah mengukuhkan kedudukan di tempat kedua dengan mengumpul tujuh mata menerusi dua kemenangan dan satu seri dalam saingan Kumpulan D selepas membenam skuad Red Giants 2-1 di laman sendiri.

Dua gol Sabah masing-masing dijaringkan oleh Rahman Shah Marajeh dan Ricco Nigel Milus pada minit ke-82 dan 90.

Bagaimanapun, skuad Badak dikejutkan dengan gol awal pasukan pelawat pada babak kedua permainan menerusi jaringan Sean Eugene Selvaraj minit ke-70.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan D, Pahang juga unggul dengan menewaskan PKNP FC 1-0 di Stadium Batu Kawan semalam.

Pahang kekal tangga pertama dengan kelebihan agreget gol ke atas Sabah manakala PKNP FC tangga ke-tiga dengan 3 mata dan Selangor ke-4 dengan 0 mata.

Dalam perlawanan berikutnya, skuad bimbingan Jelius akan bertandang ke tempat lawan iaitu Selangor di Stadium Shah Alam pada 28 Ogos dan PKNP FC di Stadium Batu Kawan pada 2 September.

Jadual peringkat kumpulan D berakhir di Stadium Likas pada Hari Malaysia 16 September menentang Pahang.

“Sebenarnya, kami telah memohon perlawanan pada 16 September ditunda ke tarikh lain tetapi FAM telah menetapkan semua jadual awal diteruskan seperti biasa oleh semua pasukan,” katanya.-Oleh Sitti Nor Azizah Talata/SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan