Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sabah, Sarawak wajar terokai potensi dan ruang kerjasama

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman. - foto Ille Tugimin
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman. – foto Ille Tugimin

KOTA KINABALU – Banyak lagi potensi dan ruang kerjasama yang boleh diterokai dan dimanfaatkan bersama oleh Sabah dan Sarawak, selain daripada kerjasama dari segi politik, ekonomi dan sosial demi kepentingan rakyat kedua negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, sebagai dua negeri berjiran, sudah tentu kedua negeri mempunyai banyak persamaan dan keserasian dari segi sejarah, budaya dan sosio ekonomi serta bidang-bidang lain.

“Banyak yang boleh dilakukan oleh kedua-dua negeri untuk manfaat rakyat bersama. Selain itu, kita juga menyambut baik dan menyokong usaha dan langkah awal yang diambil oleh Tan Sri Adenan satem dalam beberapa isu melibatkan kepentingan rakyat khususnya di Sarawak,” katanya berucap sempena Majlis Makan Malam Bersama Ketua Menteri Sarawak di sini malam ini.

Majlis berkenaan dihoskan kerajaan negeri ini dan ia turut dihadiri isteri beliau, Datin Faridah Tussin; isteri Adenan, Datin Patinggi Jamilah Anu; Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Salleh Said; Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Datuk Yahya Hussin dan Datuk Raymond Tan Shu Kiah.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman dan menteri-menteri Kabinet negeri serta ketua-ketua jabatan Persekutuan dan negeri.

Musa berkata, beliau yakin Sarawak juga berada pada landasan terbaik untuk terus membangun bersama-sama kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Alhamdullillah, Sabah terus memacu pembangunan pesat dalam pelbagai bidang di bawah kerajaan BN terutama dari aspek kestabilan politik, pembangunan, ekonomi dan kemakmuran sosial. Begitu juga dari segi semangat perpaduan, muafakat dan kerjasama rakyat berbilang suku kaum, agama dan budaya,” ujarnya.

Mengenai kehadiran Adenan ke Sabah, Musa yakin lawatan tersebut mampu mengukuhkan hubungan dua hala kedua negeri yang telah lama terjalin.

Katanya, kerajaan negeri ini akan terus meningkatkan kerjasama dan hubungan baik sedia ada dan mengukuhkan lagi semangat persaudaraan yang terjalin sekian lama antara kerajaan dan rakyat kedua negeri. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan